Semua maklum, Grand Prix F1 Bahrain menjadi saksi kepada kemalangan ngeri membabitkan pemandu Haas, Romain Grosjean semasa pusingan awal perlumbaan.
Pelumba Perancis itu bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan selepas dikejarkan ke hospital oleh pasukan perubatan FIA sementara jenteranya remuk kepada dua bahagian dan terbakar dalam kemalangan tersebut.
Begitupun, tindakan promoter F1 Liberty Media menyiarkan ulang tayang kemalangan tersebut mengundang rasa tidak puas hati pelumba F1.
Antara yang lantang bersuara ialah pelumba Renault berdarah Australia, Daniel Ricciardo.
Ricciardo menyifatkan liputan kemalangan tersebut seolah-olah seperti liputan berita Hollywood dan tidak sensitif kepada semua yang terlibat.
Beliau berkata, “Saya merasa jijik dan kecewa dengan Formula Satu kerana menyiarkan atau memilih cara ia menyiarkan seperti yang mereka lakukan, menyiarkan ulang tayang sebanyak beberapa kali termasuk semasa ia terbakar dan terbelah dua. Selepas itu, jika tidak mencukupi, mereka menyiarkan pula ulang tayang dari kamera kokpitnya.
“Kenapa kami perlu melihat semua ini? Kami akan berlumba semula dalam tempoh sejam. Keluarganya terpaksa menonton semua itu. Semua anggota keluarga kami perlu melihat semua itu. Ini tidak adil. Ini bukan hiburan. Untuk menunjukkan ia seperti dari Hollywood, itu tidak bagus. Siarkanlah pada hari esok, bukan hari ini (semalam).”
Ricciardo menambah, Liberty Media bernasib baik kerana kemalangan tersebut tidak membawa kepada kehilangan nyawa.
Jika tidak, promoter perlumbaan F1 itu bakal berdepan situasi berbeza sekiranya perkara itu berlaku.
Pandangan bekas pelumba Red Bull itu dipersetujui pelumba Mercedes, Valterri Bottas.
Walaupun mengakui penonton dan orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku, satu had perlu diletakkan agar ia tidak bersifat melampau-lampau.
Tambah pelumba Finland itu, situasi boleh saja berubah sekiranya wujud pelbagai senario termasuk Grosjean tidak dapat keluar daripada jentera F1nya.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mengakui imej ulang tayang tersebut sebagai menakutkan tetapi menambah, “Jika anda tidak telus sebagai sebuah organisasi, anda mengambil risiko orang lain menunjukkan benda yang di luar kawalan anda.”
Perlumbaan yang berlangsung di Litar Sakhir itu terpaksa ditangguhkan selama sejam 20 minit dengan pekerja menggantikan tembok perlumbaan yang rosak dan memasang tembok baru.
Haas dalam satu kenyataan berkata, Grosjean ketika ini diletakkan di dalam wad pemerhatian selama semalam selepas mengalami kecederaan lecur pada bahagian belakang tangannya.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
Reuters. (2020). Daniel Ricciardo disgusted with ‘Hollywood’ coverage of Grosjean’s F1 crash. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/daniel-ricciardo-formula…