Busby Babes Korban Munich 1958

Lebih 60 tahun lalu, dunia bola sepak dikejutkan dengan kemalangan udara pesawat yang membawa pasukan Manchester United yang dibimbing Sir Matt Busby di Lapangan Terbang Munich. 23 orang terbunuh dalam kemalangan itu termasuk lapan ahli Busby Babes.

Pada ketika itu, pasukan Red Devils merupakan antara pasukan paling menarik di Eropah. Mereka merupakan pemenang liga sebanyak dua kali (1955-1956 dan 1957) dengan majoriti pemain merupakan pemain-pemain muda. Antara bintang utama pasukan ialah Sir Bobby Charlton, Duncan Edwards dan Tommy Taylor.

Advertisement

Pada awal 1958, Busby dan rombongan United baru saja layak ke peringkat separuh akhir Piala Eropah. Ini selepas mereka mengalahkan Red Star Belgrade di Belgrade sekaligus membantu mereka ke separuh akhir kejohanan buat kali kedua. Rombongan ini turut disertai oleh sekumpulan wartawan termasuk legenda Manchester City, Frank Swift.

Mereka bertolak pulang ke Manchester dari Belgrade dengan menaiki penerbangan British European Airways (BEA). Menjelang 1.15 petang, pesawat Airspeed Ambassador 2 berhenti di Munich untuk mengisi minyak. Selepas selesai mengisi minyak, krew BEA cuba berlepas sebanyak dua kali tetapi gagal akibat masalah enjin.

Tambah menyulitkan keadaan, cuaca salji mula turun dengan lebat. Dalam keadaan tersebut, molek untuk BEA menangguhkan penerbangan pada hari itu atas sebab keselamatan. Tetapi krew penerbangan percaya mereka boleh kembali ke Manchester dan mencuba buat kali ketiga.

Pada ketika itu, salji mengakibatkan wujud lecah salji yang besar di landasan. Ini mengakibatkan pesawat Airspeed Ambassador 2 tidak dapat mencapai kelajuan diperlukan untuk berlepas. Akibatnya, pesawat melanggar pagar lapangan terbang dan sebuah rumah berhampiran. Tidak lama selepas itu, api mula meliputi pesawat dan rumah berkenaan sebelum sebuah pondok yang mengandungi tayar dan bahan api meletup.

Dalam insiden menyayat hati itu, 20 orang terbunuh di tempat kejadian. Tiga lagi meninggal dunia di hospital. Tujuh orang pemain Manchester United menemui ajal di situ dengan Edwards meninggal dunia di hospital 15 hari kemudian.

Penumpang-penumpang yang terselamat cuba menyelamatkan seberapa ramai orang di tempat kejadian. Antara yang berjaya dikeluarkan ialah Bobby Charlton, Dennis Viollet dan penjaga gol Harry Gregg serta juruterbang James Thain. Bagaimanapun, juruterbang Kapten Kenneth Rayment meninggal dunia di hospital lebih lima minggu kemudian.

Gregg dianggap wira dalam tragedi tersebut. Ini kerana selain mengeluarkan Charlton dan Viollet dengan menarik tali pinggang mereka, beliau turut menyelamatkan isteri seorang diplomat Yugoslavia, Vera Lukic dan bayinya yang baru berusia 20 bulan. Disebabkan keberaniannya itu, Gregg mendapat sanjungan bukan saja di Jerman tetapi juga di Yugoslavia.

Siasatan awal pihak berkuasa Jerman menyalahkan kesilapan juruterbang sebagai punca kemalangan. Akibatnya, mereka cuba mendakwa Thain atas dakwaan jenayah tetapi tidak berhasil. Nama juruterbang BEA itu hanya berjaya dibersihkan lebih 10 tahun kemudian selepas satu siasatan baru diadakan. Siasatan baru yang dilancarkan mendapati punca sebenar kemalangan ialah lecah salji pada landasan dan bukannya kesilapan juruterbang seperti didakwa pihak Jerman.

Kemalangan udara itu mengakibatkan generasi pemain yang menjadi kunci kejayaan United termasuk Edwards pergi menemui Ilahi. Busby pada awalnya mahu bersara dari dunia bola sepak tetapi memilih untuk membina semula Red Devils. Dalam tempoh lima tahun selepas Munich, pasukan bimbingannya muncul juara Piala FA 1963 sekaligus menjadi pencetus satu lagi era emas United pada 60-an. Ini termasuk dua lagi kejuaraan liga dan Piala Eropah pada 1968.

 

Comments