Kelab Liga Australia (A-League), Brisbane Roar diarah FIFA membayar pampasan terhadap bekas pengurus dan legenda Liverpool, Robbie Fowler selepas menamatkan kontrak beliau tanpa sebarang sebab munasabah.

Keputusan tersebut didedahkan oleh peguam bekas penyerang Manchester City itu hari ini.

Advertisement

Fowler dan pembantunya Tony Grant memilih kembali ke Britain pada Mac lepas selepas A-League ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Pengumumannya meninggalkan kelab secara persetujuan bersama dibuat pada Jun lepas.

Bagaimanapun, Fowler yang tidak gembira dengan cara pemergiannya itu kemudian membawa hal ini kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA pada Ogos lalu.

Beliau kini menjadi pengurus pasukan Liga Super India, SC East Bengal.

Nilai pampasan ini bersamaan dengan gaji dari tarikh penamatan kontraknya bersama Brisbane hinggalah tarikh beliau memeterai kontrak dengan Red and Gold Brigade selama dua tahun.

Semasa ditemubual akhbar Sydney Morning Herald, Fowler mahu mendermakan sebahagian pampasannya itu kepada sebuah badan kebajikan kanak-kanak di Brisbane.

Tambahnya, “Ini bukan soal duit, ini soal mahu menjaga reputasi saya dan memastikan semua orang tahu kebenarannya – saya tidak pernah berundur kerana kami di ambang melakukan sesuatu yang hebat.”

Sebelum The Roar, satu-satunya pasukan yang diuruskan legenda England itu ialah Muangthong United di Thailand pada 2014-2015.

Di bawah bimbingan Fowler, kelab yang menamatkan musim di tangga kedua tercorot berjaya berada di tangga keempat sebelum saingan liga ditangguhkan pada Mac lepas.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Reuters. (2020). Brisbane Roar to compensate Fowler over ‘mutual consent’ sacking. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/…/brisbane-roar-to…/

Comments