Satu kajian mendedahkan pengurus Liga Perdana Inggeris (PL) merupakan pengurus pasukan paling lama bertahan di liga jika dibandingkan dengan lima liga utama Eropah.
Kajian yang dijalankan oleh firma RunRepeat turut mendedahkan mereka lebih lama bertahan berbanding rakan-rakan sejawat mereka di Serie A.
Bagi menilai tempoh seseorang pengurus itu bertahan dalam liga-liga utama Eropah, RunRepeat menganalisis data dari 10 tahun lepas membabitkan 815 karier pengurus di PL, Serie A, La Liga, Bundesliga dan Ligue 1.
Berdasarkan purata, pengurus PL bertahan selama 69.4 perlawanan berbanding pengurus Serie A (34.1 perlawanan).
Apa menariknya, 44 pengurus hanya bertahan kurang daripada 10 perlawanan Serie A sebelum dipecat. Bulan Ogos merupakan bulan paling selamat bagi pengurus.
Namun Disember dianggap tempoh paling bahaya kerana pada bulan inilah, pemilik atau pengerusi sesebuah kelab memilih melepaskan pengurus mereka.
Penulis kajian Vyom Chaudhary mengakui data dan keputusan kajian PL sedikit terpesong berikutan tempoh lama Sir Alex Ferguson serta Arsene Wenger di kelab masing-masing.

Dua pengurus legenda itu menguruskan masing-masing 1033 perlawanan (Manchester United) dan 828 perlawanan (Arsenal).
Tanpa dua kes ini, Ligue 1 yang berada di tangga teratas dengan purata 58.2 perlawanan berbanding PL (56.1 perlawanan).
Chaudhary berkata, “Serie A dan La Liga menyediakan jumlah kestabilan yang paling sedikit kepada para pengurus sepanjang tempoh sedekad.
“Ligue 1 dan PL dilihat lebih sabar dengan pengurus-pengurus dan menghalang kelab-kelab daripada membuat keputusan drastik pada pertengahan musim. Paling jelas, kelab-kelab yang diancam penurunan divisyen di Serie A akan membuat pertukaran pengurus beberapa kali sepanjang semusim. Analisis kami menunjukkan kebanyakan pendekatan ini berakhir dengan kegagalan.
“Apabila berdepan dengan isu penyingkiran dari liga, kelab-kelab PL dilihat jauh lebih baik dalam membuat keputusan pengurusan berbanding kelab-kelab di liga-liga lain. Aktiviti perpindahan bulan Januari dianggap kontroversi tetapi ia memainkan peranan penting dalam pemilihan pengurus. Kelab yang membuat pertukaran pengurus pada pertengahan selalunya berbuat demikian pada Disember atau Januari.”
Mungkin ada menganggap data sebegini sebagai mengarut. Namun banyak keputusan pertukaran pengurus yang dibuat kelab-kelab yang diancam penyingkiran membantu mereka terselamat pada akhir musim.
Berikut beberapa contoh yang dinyatakan penulis:
1. West Ham
West Ham bergelut pada musim 2017-2018 walaupun berbelanja besar di bawah pengurusan Slaven Bilic.
Hal ini menyebabkan David Sullivan dan David Gold memutuskan untuk membawa masuk David Moyes dengan kontrak enam bulan.
Moyes berjaya mengekalkan Hammers dalam liga pada akhir musim tetapi tidak disambung kontrak.
Selepas Manuel Pellegrini bergelut dengan keputusan buruk pada musim 2019-2020, Hammers kembali membawa Moyes untuk mengekalkan mereka dalam liga.
Walaupun mengutip 39 mata, ia sudah cukup untuk mereka kekal dalam liga pada akhir musim.
2. Javi Garcia
Javi Gracia dibawa masuk oleh pengurusan Watford pada pertengahan musim 2017-2018 selepas kelab merudum di bawah bimbingan Marco Silva.
Gracia berjaya mengekalkan mereka dalam liga pada akhir musim dan mengulangi pencapaian sama pada musim berikutnya.
Namun berikutan prestasi merudum pasukan pada awal musim 2019-2020, beliau dipecat dan digantikan oleh Quique Sanchez Flores.
3. West Brom
Sesiapa yang melihat kedudukan West Bromwich Albion pada pertengahan musim 2004-2005 menyangka pasukan bimbingan Bryan Robson itu tersingkir ke Liga Kejohanan.
Hal ini demikian kerana belum ada pasukan yang terperangkap di kedudukan tercorot ketika itu dapat menyelamatkan diri pada akhir musim.
Namun pasukan Robson berjaya melakukannya pada akhir musim dibantu dengan keputusan-keputusan perlawanan yang menyebelahi mereka pada hari itu.
Justeru, keputusan pengerusi kelab ketika itu Jeremy Peace melantik bekas kapten Manchester United itu sebagai pengganti Gary Megson dianggap satu keputusan tepat.
Bagaimanapun pada musim 2005-2006, West Brom tersingkir ke Liga Kejohanan di bawah bimbingan Robson.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
Cross, John. (2020). Premier League managers stay in jobs longer than rest of Europe’s top five leagues. The Mirror. Dipetik daripada https://www.mirror.co.uk/…/premier-league-managers-stay…