Tahukah anda, Belanda pernah gagal layak secara merit ke saingan EURO 2016 sejak tahun 1984. Hal itu memberikan sedikit kejutan kepada peminat bola sepak dunia kerana Belanda bukanlah calang-calang pasukan.
Malah Belanda merupakan pasukan yang pernah beraksi di final Piala Dunia 2010 dan hanya kalah tipis kepada Sepanyol melalui jaringan Andres Iniesta pada masa tambahan.
Walaupun diperkuatkan dengan kehadiran Robin Van Persie, Klaas-Jan Hunterlaar, Wesley Sneijder, dan Dirk Kuyt, Belanda tetap gagal mengharungi pusingan kelayakan dengan baik.
Lebih malang lagi, Belanda langsung tidak mampu mengatasi pasukan kerdil seperti Iceland serta bergelut untuk menewaskan Kazakhstan.
Hal itu menyebabkan Belanda hanya mampu mengutip 13 mata maksimum daripada 10 perlawanan yang meletakkan pasukan tersebut berada di tangga keempat.
Kedudukan tersebut terus membuatkan peluang Belanda terus lenyap apabila gagal berada di tangga ketiga terbaik kumpulan untuk ke peringkat play-off.
Walau bagaimanapun bagi EURO 2020, Belanda berjaya menepis kekecewaan lepas apabila berjaya layak.
Apa-apapun, Belanda tidak boleh berasa lega kerana Ukraine hampir sahaja mengejutkan pasukan itu sebelum Denzel Dumfries menjaringkan gol kemenangan buat The Orange.
Memasuki perlawanan kedua, Belanda berazam untuk beraksi lebih baik untuk menewaskan Austria bagi menempah tiket awal ke pusingan 16 terbaik.
Belanda tidak tunggu lama apabila berjaya mendapatkan jaringan pertama melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Memphis Depay. Denzel Dumfries sekali lagi membuktikan dirinya berkualiti apabila menyumbang jaringan pada minit ke 67.
Tamat perlawanan, Belanda berjaya mengatasi Austria dengan jaringan 2 berbalas 0. Perlawanan lewat pagi tadi pula, Belanda tidak menghadapi masalah untuk mengatasi pasukan kerdil iaitu North Macedonia dengan jaringan 3-0.
Jaringan tersebut telah disumbangkan oleh Memphis Depay dan pemain baru PSG iaitu Georginio Wijnaldum dengan dua gol.