Belanda Dan Sumpahan Naib Juara

Apabila bercakap tentang naib juara pasti pasukan Indonesia akan disebut-sebut kerana negara itu masih lagi gagal menjulang Piala AFF Suzuki dalam 5 final.

Malah, Indonesia juga berpotensi terlepas piala di final keenam kerana telah diajar selumatnya mengenai bola sepak oleh Thailand.

Advertisement

Selain Indonesia, terdapat negara yang mengalami nasib sama iaitu Belanda. Belanda boleh dikatakan antara kuasa besar bola sepak Eropah kerana telah melahirkan begitu ramai pemain hebat dan pernah memenangi trofi EURO.

Tapi sayangnya dalam saingan Piala Dunia, Belanda seseolah terkena sumpahan sundel bolong daripada bekas tanah jajahannya apabila gagal menjadi juara dalam 3 final.

Pada saingan Piala Dunia edisi 1974, segala-galanya tampak sempurna buat Belanda apabila berjaya menjadi juara kumpulan A dengan maksimum 6 mata dan tanpa bolos.

Walau bagaimanapun, skuad yang diketuai oleh Johan Cruyff gagal menjulang trofi Piala Dunia pertama biarpun mendahului Jerman seawal minit kedua permainan melalui sepakan penalti.

Edisi seterusnya, Belanda bernasib baik kerana mampu melepasi peringkat kumpulan setelah hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, satu kekalahan dan seri.

Memasuki peringkat final, Belanda tiada jawapan kepada kehebatan Argentina dengan tewas mudah melalui keputusan 3-1.

Selepas itu, Belanda memerlukan masa 32 tahun untuk layak ke final Piala Dunia buat kali ketiga pada tahun 2010. Dalam final kali ini Belanda dipertemukan dengan skuad serba baru Sepanyol.

Boleh dikatakan kita bakal menyaksikan pertempuran generasi emas kedua-dua negara di final yang sangat gemilang. Malah pertarungan taktikal yang menarik antara total football dan tiki taka bakal menentukan siapa pemenang sebenarnya.

Ya telahan itu benar kerana kedua-dua pasukan buntu untuk mendapatkan jaringan pada 90 minit permainan. Memasuki masa tambahan pertama dan kedua, kelihatan seseolah perlawanan bakal diheret ke penentuan sepakan penalti.

Namun pada minit ke 116, Andreas Iniesta mengubah segalanya apabila jaringan tunggal beliau berjaya membawa Sepanyol memenangi Piala Dunia buat kali pertama.

Manakala pasukan Belanda hanya mampu meratap di sudut paling gelap kerana gagal buat kali ketiga di final walaupun hadir dengan pemain berstatus bintang seperti Robin van Persie, Arjen Robben dan Dirk Kuyt.

Kesimpulannya, Belanda juga sama seperti bekas tanah jajahannya yang terkena sumpahan naib juara.  Siapa yang salah dalam hal ini?

Comments