Bagaimanakah Pasukan Bola Sepak Wanita Kebangsaan Boleh Terbentuk

Semua sedia maklum sukan bola sepak merupakan sukan nombor satu pilihan peminat di negara ini. Hampir kesemua mengikuti dengan rapat perkembangan pasukan kebangsaan terutama pada temasya seperti Sukan SEA dan Piala AFF.

Namun sayangnya di sebalik keghairahan ini, tidak ramai yang mengetahui perihal pasukan bola sepak wanita kebangsaan kita. Justeru itu, mari kita kenali sejarah di sebalik pasukan bola sepak wanita negara.

Advertisement

‘ ’

Semua sedia maklum pada tahun 1960, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengumumkan penamatan tempoh darurat selepas bertarung dengan pemberontakan komunis selama 12 tahun dari 1948 hinggalah 31 Julai 1960.

Kejayaan sebegini menyebabkan banyak negara dan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ingin tahu rahsia di sebalik kejayaan itu. Pada masa sama, sebulan sebelumnya, Congo baru saja mencapai kemerdekaan dari Belgium.

Namun entah di mana silapnya berkenaan aspek peralihan kuasa dari Belgium kepada negara yang baru merdeka itu, ia mencetuskan situasi kacau-bilau pada minggu pertama Julai 1960.

Sebagai tindak balas, Belgium menggerakkan tentera untuk melindungi kepentingan mereka di Katanga dan selepas mengharungi beberapa pertempuran kecil, Brussels berjaya menguasai ibu negeri Katanga, Elisabethville pada 10 Julai 1960.

Berang dengan campur tangan Brussels yang disifatkan sebagai haram mengikut undang-undang antarabangsa, Presiden Joseph Kasa-Vubu dan Perdana Menteri Patrice Lumumba meminta bantuan PBB untuk menghantar pasukan pengaman ke kawasan bergolak.

Hajat mereka dikabulkan menerusi kelulusan Resolusi 143 selepas mesyuarat Majlis Keselamatan PBB. Menerusi resolusi berkenaan, Brussels diarah mengundurkan tentera mereka dari Congo, memberi kuasa kepada Setiausaha Agung PBB menguruskan pengunduran mereka, mewujudkan keamanan dan membantu menyediakan asas stabil kepada sebuah kerajaan baru pasca-penjajahan.

Bagi mencapai matlamat ini, satu pasukan pengaman PBB diwujudkan di Congo di bawah nama ONUC. Melihat kepada pengalaman luas negara dalam membanteras ancaman komunis termasuk taktik perang saraf, maka tidak hairanlah mengapa Setiausaha Agung PBB ketika itu Dag Hjalmar Agne Carl Hammarskjold memilih Malaysia sebahagian daripada pasukan pengaman itu.

Antara peranan pasukan ini ialah mengekalkan keamanan dan keselamatan wilayah serta mengeluarkan tentera-tentera upahan asing yang dibawa untuk membantu perjuangan pemisahan Katanga.

Sebagai respon kepada permintaan Hammarskjold, pada 4 Ogos 1960, Tunku menawarkan pasukan dengan kekuatan 120 orang. Namun, beliau merasakan angka tersebut tidak mencukupi dan mahukan lebih ramai tentera Persekutuan Tanah Melayu menyertai pasukan pengaman.

Baginda kemudiannya bersetuj u meningkatkan kekuatan pasukan kepada 450 orang dalam satu lagi telegram yang dihantar pada 24 Ogos tahun sama.

Selepas beberapa siri rundingan, Kuala Lumpur bersetuju menambah bilangan tentera pengaman kepada 613 orang terdiri daripada 42 pegawai dan 571 tentera dari Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Skuadron C Rejimen Perisikan Kedua.

Namun dengan pertambahan anggota, ianya turut membawa kepada pertambahan kos memandangkan kedudukan kewangan negara yang masih lemah ketika itu. Hal ini mendorong Tunku merayu kepada orang ramai menyumbang untuk membantu menampung kos usaha pasukan pengaman Tentera Persekutuan Tanah Melayu (MSF) di Congo.

Ramai menyahut seruan Tunku termasuk sekumpulan jururawat di Perak. Namun apa bezanya ialah cara mereka mengutip dana dengan mengadakan pertandingan bola sepak wanita di mana hasil kutipan tiket disalurkan kepada dana MSF.

Kadangkala, hasil kutipan tiket yang diraih jauh mengatasi kutipan tiket membabitkan pertandingan bola sepak lelaki. Kumpulan jururawat dari Hospital Besar Ipoh dan Hospital Mental Ulu Kinta Tengah di Tanjung Rambutan membentuk pasukan bola sepak wanita pertama di negara ini.

Usaha ini turut disokong Tunku yang ketika itu turut menjawat jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Tanah Melayu (FAM) yang melihat ia sebagai usaha mempromosikan sukan dalam kalangan kaum Hawa.

Walaupun usaha ini disertai oleh beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, hakikatnya Perak tetap yang pertama mengetuai usaha murni ini. Buktinya, mereka menubuhkan persatuan bola sepak wanita negeri yang pertama dengan Puan Kamsiah Ibrahim sebagai pengerusi persatuan.

Hasilnya, ramai mula mengenali pasukan ini dan bukan sekali dua, hasil kutipan tiket mereka melebihi hasil kutipan tiket pasukan bola sepak lelaki. Dua tahun selepas itu, mereka melibatkan diri dalam pertandingan tahunan peringkat negeri iaitu Trofi Cabaran Straits Times. Bagaimanapun, ia hanya bertahan selama tiga tahun sebelum terpaksa dibatalkan akibat masalah kewangan.

Pada tahun 1965, Puan Kamsiah berpindah ke Kuala Lumpur dan jawatan pengerusi diambil alih oleh Datin Teoh Chye Hin. Antara langkah yang diambil selepas menduduki kerusi panas persatuan ialah menambahbaik sistem sedia ada dan mengadakan rancangan untuk menambah wang dalam kantung persatuan.

Beliau sedar persatuan ini tidak mempunyai pendapatan tetap seperti yuran tahunan dan bergantung kepada derma orang ramai untuk terus beroperasi. Namun hal itu tidak menghalang pasukan negeri dari terus dikenali ramai.

Pada tahun 1967, Perak bersama tiga pasukan bola sepak wanita Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mengambil bahagian dalam Festival Sukan Singapura. Festival tersebut turut disertai oleh negara jiran Indonesia dan Hong Kong.

Namun, festival berkenaan hanya dapat dianjurkan selama empat tahun sebelum ia terpaksa dibatalkan akibat masalah kewangan. Masalah berkenaan tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkecimpung dalam sukan bola sepak dan penyertaan pertandingan atas nama kebajikan.

Walaupun tindakan mereka ini tidak banyak membantu kantung kewangan mereka, ia satu ikrar yang tetap diteruskan demi membantu orang lain yang dalam kesusahan.

Bagi tahun berikutnya, pemain-pemain asal meninggalkan persatuan atas sebab berpindah atau berkahwin. Mereka digantikan oleh pelajar serta pekerja kilang wanita yang tinggal sekitar Ipoh dan Kampar.

Tidak seperti pemain-pemain sebelumnya yang perlu berlatih hanya bila pertandingan menjelang dan menggunakan peralatan sendiri, mereka ini mendapat didikan jurulatih Chong Chee Fai serta M. Nadarajan. Kebanyakan pemain ketika itu berusia antara 17 hingga 20 tahun.

Sukan bola sepak wanita negara mendapat suntikan moral apabila isteri Tunku, Allahyarhamah Tun Sharifah Rodziah menjadi pengerusi persatuan bola sepak wanita negara yang pertama. Datin Chye Hin sendiri dilantik sebagai setiausaha agung persatuan berkenaan yang pertama.

Antara anggota gabungan pertama yang menyertai persatuan berkenaan ialah Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Dan tak lama selepas itu, pasukan bola sepak wanita negara menyertai Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia (kini dikenali sebagai Piala Wanita Asia AFC) yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dari 25 Ogos hingga 3 September 1975.

Selain Malaysia, New Zealand, Thailand, Australia, Hong Kong dan Singapura turut mengambil bahagian. Pertandingan tersebut menyaksikan New Zealand menjadi juara mengatasi Thailand 3-1 pada final.

Sementara Malaysia pula menduduki tempat keempat selepas tewas kepada Australia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat.

Walaupun kalah, kapten dan pemain sayap kanan Perak Fazillah Mohd Nor menjadi sebahagian daripada pasukan pilihan AFC yang menjelajah ke beberapa negara Eropah pada September 1977.

Bagi Fazillah, tidak pernah terbayang baginya menjadi sebahagian daripada pasukan ini kerana masa lapangnya diperuntukkan untuk latihan sambil bekerja sepenuh masa.

Terdorong dengan kejayaan mereka di Hong Kong, Datin Chye Hin menganjurkan pertandingan bola sepak khas untuk pelajar sekolah menengah perempuan di Perak. Beliau berharap pertandingan ini dapat membantu persatuan mengenalpasti pemain-pemain berbakat dan menyediakan asas kepada karier mereka sebagai pemain bola sepak yang berjaya.

Menjelang akhir dekad 1970-an, langkah itu dituruti negeri-negeri lain dan usaha ini menjadikan negara sebagai antara kuasa bola sepak wanita Asia. Pencapaian terbaik mereka ialah tempat ketiga Piala Wanita Asia 1983 di Bangkok, Thailand.

Bagi tahun berikutnya, pencapaian bola sepak wanita kebangsaan hanya terhad kepada peringkat ASEAN terutama Sukan SEA. Malaysia pernah memenangi pingat gangsa dalam acara sukan bola sepak wanita pada edisi 1995 di Thailand, edisi 2003 di Vietnam dan edisi 2013 di Myanmar.

Sehingga hari ini, Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia Wanita FIFA sejak ia diperkenalkan di China pada tahun 1991. Satu punca mengapa pasukan kita masih ketinggalan ialah tiada kejohanan bola sepak wanita kompetitif untuk membantu persatuan mengenalpasti bakat baru.

Selain itu, ada sesetengah pihak turut menyalahkan keputusan Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBSWM) yang bergabung dengan FAM berikutan keputusan FIFA sesebuah negara hanya boleh ada satu badan induk menguruskan bola sepak negara berkenaan.

Bukan sekali dua ikrar untuk membantu pasukan bola sepak wanita dikeluarkan dan bukan sekali dua juga penggiat bola sepak wanita dikecewakan.

Namun ia sedikit berubah semasa kepimpinan DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dan momentum tersebut kini diteruskan oleh Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam satu temubualnya dengan akhbar New Straits Times, beliau menyatakan rancangan untuk membangunkan bola sepak wanita termasuk mengajak semua anggota gabungan bertanding dalam kejohanan tahunan Piala Tun Sharifah Rodziah.

Bagaimanapun, Datuk Hamidin turut menyatakan usaha ini berdepan cabaran berikutan sesetengah negeri lebih berminat memajukan bola sepak lelaki berbanding bola sepak wanita.

Oleh: Azmil Azali

Sumber:

Teh Leam Seng, Alan. (2018). Birth of our women’s football team. New Straits Times. Dipetik daripada https://www.nst.com.my/…/416…/birth-our-womens-football-team

Aziz, Ariff. (2015). FourFourTwo. Will Malaysia ever qualify for the Women’s World Cup? Dipetik daripada https://www.fourfourtwo.com/…/will-malaysia-ever-qualify-wo…

Berita Harian. (2015). Bola sepak wanita negara masih ketinggalan. Dipetik daripada https://www.bharian.com.my/node/65200

Comments