Setiap kali tamat musim, setiap kelab berusaha memperkuatkan pasukan masing-masing bagi mengharungi saingan liga dan piala musim hadapan.

Di Malaysia, banyak pasukan menggunakan taktik perpindahan Bosman untuk mendapatkan pemain dan jarang membayar yuran perpindahan.

Advertisement

Namun di Australia pula, situasi perpindahan pemain terutama pemain domestik dilihat tidak menguntungkan.

Sejak Liga Australia (A-League) diperkenalkan pada 2005, kelab-kelab dilarang mengenakan yuran perpindahan apabila mahu mendapatkan pemain sesama kelab.

Jika ada yang berpindah ke luar negara sama ada Liga Perdana Inggeris (PL), Serie A atau Bundesliga, bayaran yang diberi bersifat sedikit dan langsung tidak mencerminkan usaha yang dilaburkan untuk membangunkan pemain.

Atas sebab itulah, Football Australia (FA) melancarkan satu kertas putih dengan tujuan melaksanakan sistem perpindahan domestik yang berdaya saing.

Selain mengintegrasikan sistem perpindahan dengan pasaran perpindahan antarabangsa, ia dilihat boleh membawa peluang kewangan dan kesukanan baru yang menguntungkan Australia untuk jangka masa panjang.

Berdasarkan laporan FIFA pada 2019, Australia ketinggalan jauh di belakang kuasa-kuasa bola sepak terutama di Asia dari segi nilai yuran perpindahan pemain.

Kanada mengetuai senarai dengan yuran perpindahan AS$30 juta, Jepun (AS$29.6 juta), Korea Selatan (AS$22.6 juta) dan Arab Saudi (AS$22 juta).

Menerusi kertas putih ini, ia diharap dapat meningkatkan peluang kejayaan kelab-kelab Australia agar bersaing dalam suasana yang lebih kompetitif terutama di peringkat Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Selain itu, ia diharap dapat membantu kantung kewangan kelab sekaligus membolehkan lebih banyak pelaburan dibuat termasuk di peringkat akar umbi.

Pengumuman ini dibuat kurang seminggu selepas FA mengumumkan semua liga profesional Australia termasuk A-League dikendalikan oleh badan berasingan.

Ianya menjadikan A-League hampir serupa dari segi pengurusan liga dengan J-League dan Liga Super China.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Lynch, M. (2021). Potential windfall for Australian clubs as FA launches transfer white paper. Sydney Morning Herald.

Comments