Seorang pegawai Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mencadangkan semua atlet yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2021 disuntik dengan vaksin Covid-19 terlebih dahulu. Ianya bagi memastikan perjalanan temasya tersebut berjalan lancar.

Dalam temubual bersama Sky News UK, Dick Pound melihat ia sebagai jalan terbaik bagi membenarkan penyertaan atlet secara beramai-ramai.

Advertisement

Padanya, ia bersifat kontroversi tetapi perlu dengan melihat penglibatan ramai atlet dalam sukan berprestij tersebut.

Selain itu, beliau melihat ini satu cara membantu mereka mewakili negara-negara peserta dalam keadaan sihat dan tidak perlu bimbang dengan situasi pandemik Covid-19.

Pendirian Pound ini dilihat tidak jauh berbeza dengan pendirian bosnya, Thomas Bach. Semasa lawatannya ke Tokyo pada November 2020, beliau melihat atlet digalakkan mendapat suntikan vaksin terlebih dahulu.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau tidak merasakan ketiadaan vaksin sebagai satu halangan kepada mereka untuk bertanding di Sukan Olimpik.

Dalam satu temubual lain bersama BBC, Pound menyatakan kebimbangan temasya Olimpik Tokyo mungkin tidak dapat diteruskan gara-gara pengenalan jenis baru Covid-19.

Hal ini berikutan pertambahan kes di kebanyakan negara termasuk Eropah, Asia dan Amerika Utara termasuk negara tuan rumah Jepun.

Begitupun, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga menegaskan Tokyo sudah bersedia sebagai tuan rumah dan bersedia menerima 15,000 atlet di seluruh dunia dalam tempoh kurang daripada 200 hari.

Bagi memastikan Covid-19 berada pada tahap terkawal, Jepun turut melaksanakan perintah berkurung di Tokyo dan wilayah-wilayah sekitarnya.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Reuters. (2021). Olympics-Prioritise athletes for vaccine so Tokyo Games can go ahead – IOC member

Comments