5 Langkah Pemasaran Sukan Gaya JDT Tapi Tidak Dibuat Oleh Banyak Kelab

Ini adalah perkongsian menarik mengenai bagaimana pasukan-pasukan di Malaysia gagal melakukan perkara-perkara ini dalam mendapatkan tajaan. Kami pernah mengalami masalah yang sama. Harap perkongsian dari sumber ini akan mendatangkan manfaat kepada semua yang terlibat dalam pengurusan kelab atau persatuan sukan.

Walaupun artikel ini (sumber asal) memfokuskan pada pemasaran bolasepak, secara amnya, pemasaran sukan atau perniagaan ada asas yang sama. Saya melaksana sahaja mungkin perlu diadaptasi mengikut kesesuian.

“Saya minta maaf awal-awal kalau saya buat tuan-tuan marah. Bukan apa, saya nak buka minda tuan-tuan semua.”

Begitulah lebih kurang intro En.Ayani Ismail, bekas Chief Marketing Officer (CMO) JDT kepada wakil-wakil pasukan Piala FAM yang menghadiri taklimat mengenai topik pemasaran bola sepak (football marketing) diGrand Bluewave Hotel, Shah Alam pada 14 Feb 2016.

Sebagai individu yang bertanggungjawab membangunkan jenama JDT, JDTtv dan Johor Southern Tigers dari mula, beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pemasaran bola sepak.

Berikut adalah 5 kesalahan pemasaran yang dikesan oleh bekas CMO JDT tersebut, tetapi masih dilakukan oleh pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia.

1. Mengabaikan pemasaran B2C

Menurut En. Ayani, terdapat 4 sumber utama kewangan pasukan:

  1. Duit hak penyiaran
  2. Duit penajaan
  3. Duit jualan tiket
  4. Duit jualan barangan rasmi pasukan (team official merchandise)

Untuk mendapatkan duit-duit ini, pasukan bola sepak perlu melakukan pemasaran. Dan terdapat 2 jenis pemasaran:

  1. Pemasaran B2B (bisnes kepada bisnes)
  2. Pemasaran B2C (bisnes kepada pelanggan)

Menurut En. Ayani:

“Pemasaran B2B adalah jenis pemasaran yang selalunya dilakukan oleh majoriti pasukan bola sepak di Malaysia.”

“Tetapi mereka selalu mengabaikan pemasaran B2C – pemasaran kepada penyokong.”

Menurutnya lagi,  bukti pasukan bola sepak di Malaysia mengabaikan pemasaran B2C sangat jelas kerana sehingga kini masih ada pasukan yang masih tidak mempunyai laman web rasmi.

cmo jdt 2

“Yang pasukan bola sepak kita kisahkan adalah; cari duit sponsorship daripada syarikat (pemasaran B2B).”

“Macam mana syarikat nak sponsor kalau website rasmi pasukan pun tiada?”

Platform media sosial mereka pula tiada engagement dengan penyokong. Jangankan mempunyai database maklumat penyokong, mereka juga tidak rajin membuat event bertemu dengan penyokong.

“Fanpage pasukan pun suam-suam kuku saja. Malah ada fanpage penyokong yang mempunyai likes lagi banyak daripada fanpage rasmi pasukan.”

2. Tidak kenal siapa penyokong mereka

Ayani: “Wakil pasukan FELCRA FC boleh angkat tangan tak? Boleh beritahu tak berapa fans yang pasukan awak ada?”

FELCRA: “5000 lebih.”

Ayani: “Adakah nombor ini datang daripada jumlah likes fanpage Facebook pasukan awak?”

FELCRA: “Ya.”

Ayani: “Awak tahu kan, awak tak boleh kira jumlah penyokong awak berdasarkan jumlah likes? Jadi boleh tak saya tahu jumlah pekerja dan peneroka FELCRA?”

FELCRA: “Sekitar 300,000.”

Ayani: “Itulah jumlah sebenar penyokong anda sebenarnya.”

Dialog ini benar-benar berlaku semasa taklimat tersebut. Ia membuktikan pasukan bola sepak di Malaysia majoritinya langsung mengabaikan pemasaran B2C.

Mana tidaknya? Penyokong sendiri pun mereka tak kenal.

3. Tidak tahu cara paling berkesan untuk mendekati penyokong 

Ketika ini kebanyakan pasukan bola sepak di Malaysia hanya menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube untuk mendekati penyokong.

Apa yang menyedihkan adalah; bagi mereka, semua platform ini sudah cukup.

“Sepatutnya pasukan kenalah rajin jumpa penyokong. Jangan abaikan komuniti penyokong anda. Jangan simpan pemain.”

“Rajin-rajinlah buat aktiviti atur pemain jumpa penyokong. Tangkap gambar, rakam video dan letak di Facebook. Barulah ada engagement dengan penyokong.”

En. Ayani turut memberi contoh tugas-tugas PR yang dijalankan oleh pemain-pemain JDT.

“Kami di JDT dulu siap terbangkan Safiq Rahim naik helikopter bila ada seorang penyokong kami di Batu Pahat meninggal dunia.”

“Saya cakap kepada Safiq; awak tak perlu datang training. Pergi jumpa keluarga penyokong di Batu Pahat dan bawa photographer.”

“Kami juga rajin bawa pemain JDT melawat hospital untuk mendekati orang-orang Johor.”

Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang membuatkan jenama JDT dekat di hati penyokong dan rakyat Johor.

4. Tidak tahu cara memikat tajaan syarikat korporat

Jika kita lihat senario bola sepak di Malaysia, kebanyakan pasukan memerlukan bantuan pengaruh ahli politik untuk menarik tajaan syarikat korporat.

Malah kebanyakan syarikat tersebut tidak memerlukan pengiklanan dalam bola sepak pun sebenarnya untuk berkembang. Contohnya: Chengal Jati, Menteri Besar Incorporated, Aras Kuasa, Lembaga Air Perak, Sarawak Energy, dan Ladang Rakyat Terengganu.

Sebaliknya syarikat-syarikat korporat yang boleh berkembang melalui pengiklanan dalam bola sepak, semuanya takut untuk menaja pasukan bola sepak di Malaysia.

Menurut En. Ayani, tindakan syarikat-syarikat korporat ini yang takut untuk menaja pasukan bola sepak di Malaysia adalah kerana kegagalan pasukan melakukan pemasaran B2C.

Masakan tidak, sehingga kini ada pasukan yang tidak mempunyai laman web rasmi. Malah ada yang menggunakan platform Blogspot!

Jumlah likes fanpage Facebook mereka pun tak memberansangkan.Content mereka pula hambar. Kadang-kala, fanpage mereka tidak dikemaskini apabila musim liga tamat.

5. Memberi alasan gagal menarik tajaan kerana tiada siaran TV

Alasan paling popular yang diberikan oleh kelab kecil (seperti dalam Piala FAM) apabila gagal menarik tajaan adalah ketiadaan siaran TV dalam perlawanan mereka.

Menurut mereka, kebanyakan syarikat korporat menolak permohonan tajaan mereka kerana Piala FAM tiada siaran langsung di TV.

cmo jdt 3
Sumber: Facebook Felcra FC

En. Ayani menyangkal dakwaan tersebut.

“Sebenarnya tanpa siaran TV pun, pasukan kecil boleh mendapat tajaan syarikat korporat.”

“Katakan laman web pasukan mereka mempunyai 1 juta hits sebulan. Fanpage Facebook mereka pula reach 3 juta pengguna Facebook sebulan. Akaun Twitter mereka pula mencapai 1 juta impressions sebulan.”

“Syarikat korporat tidak mempunyai masalah untuk memberi duit tajaan jika anda ada angka sebegini.”

Ayani turut memberi contoh pengalamannya ketika mula-mula membangunkan fanpage dan laman web Johor Southern Tigers dahulu.

“Masa saya mula-mula ambil alih fanpage Johor Southern Tigers, kami hanya ada 2,800 likes saja. Jumlah likes fanpage peminat Johor jauh lebih banyak daripada kami.”

“Apabila saya meninggalkan JDT pada Februari 2015, likes fanpage kami sudah cecah 890,000. Laman web kami cecah 10-12 juta hits sebulan.”

“Untuk memperhebatkan lagi marketing B2C, kami perkenalkan JDTtv.”

“Dengan adanya laman web, media sosial dan video, kami sebenarnya menyediakan banyak platform untuk menarik penajaan dan pengiklanan. Kami jaga keperluan klien kami.”

Cara-cara pasukan kecil untuk menarik tajaan syarikat korporat

Menurut En. Ayani, untuk mencapai hits sebegini pasukan perlu rajin membuat event, tangkap gambar atau video dan post ke laman web dan media sosial rasmi pasukan.

Dalam erti kata lain, marketing team pasukan perlu sentiasa menghasilkancontent baru untuk laman web dan media sosial rasmi pasukan setiap hari.

cmo-jdt 4
Sumber: Johor Southern Tigers

Untuk memastikan impressions dan reach media sosial mereka menjadi tinggi, content mereka perlulah menarik dan berinformasi.

“Bila hits laman web dan media sosial rasmi pasukan sudah cukup besar, anda tak mempunyai masalah untuk jual ruang iklan di laman web, media sosial rasmi pasukan dan adboard stadium.”

“Dengan cara inilah kami dapat tarik Adidas untuk menaja. Bila kami perkenalkan season pass, semuanya habis ditempah.”

“Malah saya pernah menjual sebuah corporate box di stadium kepada seorang businessman dengan harga RM100,000 semusim.”

iSportsAsia

Kami sendiri sudah like page JDT sejak ia kurang dari 1,000 likes lagi. Boleh dikatakan setiap hari kami akan logon ke page ini untuk dapatkan berita-berita terkini. Kami juga sering menjadikan kaedah ‘social media marketing’ yang dibuat JDT sebagai satu contoh bila memperkatakan tentang pemasaran sukan. Kami tidak mahu masuk ke arah isu pentadbiran dan lain-lain. Sekarang kita sebut tentang pemasaran sahaja.

iSportsAsia ingin bekerjasama dengan atlit dan pasukan yang punya komitmen tinggi untuk konsisten dalam kaedah ini.

Lihat jumlah likes terkini laman FB JDT. Dah lebih 1.5 juta likes. Laman web JDT sekarang juga sudah mencecah 61 juta page views sebulan!

cmo-jdt 5

Sumber

Comments