Baru-baru ini, Arsenal mengumumkan penyertaan mereka dalam pelan Kerangka Kerja Tindakan Iklim untuk Sukan PBB, satu rancangan yang direka bagi menggalakkan kelab-kelab sukan melawan perubahan iklim.

Dengan penyertaan The Gunners dalam pelan ini, ia menjadikan mereka kelab Liga Perdana Inggeris (PL) pertama berbuat demikian.

Advertisement

Pengarah operasi Arsenal Hywel Solman berkata, “Kami sudah melaksanakan pelbagai pendekatan mesra alam sekitar di setiap peringkat kelab. Kami akan terus menggunakan kedudukan dan pengaruh Arsenal untuk menginspirasikan komuniti penyokong global kami dan saling berusaha menuju ke arah masa depan yang bersifat lebih lestari.”

Dengan menandatangani pelan tersebut, kelab dan staf perlu mematuhi lima prinsip utama yang bertujuan mengurangkan impak perubahan iklim akibat pemanasan global:

– Melaksanakan usaha sistematik untuk mempromosikan tanggungjawab alam sekitar yang lebih besar.

– Mengurangkan impak perubahan iklim secara keseluruhan.

– Memberi pendidikan berkenaan tindakan iklim.

– Mempromosi aktiviti kepenggunaan yang bertanggungjawab dan lestari.

– Menyokong aktiviti tindakan iklim melalui komunikasi.

Lindita Xhaferi-Salihu dari Unit Pendahulu Tindakan Iklim untuk Sukan, Perubahan Iklim PBB menambah, “Bola sepak menginspirasikan ramai orang di seluruh dunia dan terdapat potensi besar sukan ini menjadi lebih hijau, lebih berdaya tahan dengan perubahan iklim dan mengetuai contoh untuk jutaan peminat global.”

Arsenal merupakan kelab ketiga berbuat demikian selepas Forest Green Rovers (EFL) dan Hibernian (Liga Perdana Scotland).

Antara perubahan yang dibuat Gunners bagi menjadikan mereka lebih hijau ialah:

– Kelab British pertama memasang sistem penyimpanan tenaga bateri pada 2018. Sistem ini berupaya menjana elektrik untuk Stadium Emirates selama 90 minit.

– Menanam 29,000 batang pokok di pusat latihan mereka di London Colney sejak tahun 1999 bagi mewujudkan Hutan Colney/Colney Woods.

– Memasang sistem kitar semula air di London Colney bagi membolehkan air yang digunakan untuk menyiram padang latihan dikitar semula dan digunakan. Pada tahun lepas, 4.5 juta air dikitar semula.

– Kelab EPL pertama yang beralih kepada penjanaan tenaga elektrik secara hijau.

– Melaksanakan skim penggunaan semula cawan di Stadium Emirates yang menjimatkan 20,000 buah cawan plastik.

– Mengurangkan penggunaan tenaga dengan memasang lampu LED di setiap aset milik kelab.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Lockwood, David. (2020). Arsenal: Premier League club join UN climate action plan. BBC. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/football/54957075

Comments