Ketika beraksi pertama kali di skuad utama Johor Darul Ta’zim pada tahun 2017, Arif Aiman terus tidak pandang belakang apabila mampu menyerlahkan potensinya.
Biarpun hanya bermain dalam 2 perlawanan pada musim 2020, aksi itu sudah cukup memberikan bayangan bahawa Arif Aiman bakal meletup di masa hadapan. Hal ini turut diakui oleh peminat bola sepak tempatan kerana aksinya yang berumur 17 tahun mampu menyaingi pemain senior dan import.
Segala-galanya tampak indah buat Arif Aiman kerana memasuki musim 2021, beliau telah mendapat peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama setelah Safawi Rasid dilanda kecederaan. Kehadiran Arif Aiman membuatkan kehilangan Safawi Rasid langsung tidak dirasai.
Malah Arif Aiman telah memberikan dimensi baru kepada barisan serangan JDT kerana kelicikannya sering memberikan masalah besar kepada pertahanan lawan. Apa yang lebih mengejutkan adalah Arif Aiman berjaya membuktikan kualitinya ketika beraksi di Asian Champion League (ACL) pada musim 2021.
Ketika itu, Arif dengan begitu mudah memperdayakan pemain pertahanan daripada Korea Selatan dan Jepun. Namun, itu belum cukup untuk memberikan kemenangan kepada JDT kerana pasukan tersebut hanya mampu menduduki tempat ke-3 dalam saingan peringkat kumpulan.
Kemuncaknya adalah Arif Aiman berjaya menjadi pemain paling bernilai (MVP), penyerang terbaik dan pemain muda terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2021). Malah Arif Aiman juga turut tersenarai dalam kesebelasan terbaik pilihan penyokong Liga Malaysia.
Lantaran daripada aksi yang mengkagumkan pada musim 2021, khidmat Arif Aiman ditagih bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala AFF Suzuki 2020. Walau bagaimanapun, Arif Aiman kurang meninggalkan impak dalam kedua-dua kejohanan tersebut tetapi masih lagi mampu menyumbang dua bantuan gol.
Memasuki musim 2022, Arif Aiman berjaya menjadi pemain yang wajib berada dalam kesebelasan utama sehingga berjaya mengetepikan Safawi Rasid.
Arif Aiman segera meninggalkan impak yang signifikan dengan kejayaan menghasilkan 7 bantuan gol dalam 14 perlawanan. Malah Arif Aiman juga adalah individu penting dalam yang membantu JDT lolos ke peringkat kalah mati ACL2022. Hantarannya pada minit-minit akhir menentang Ulsan Hyundai berjaya mengejutkan peminat bola sepak negara.
Disebabkan oleh aksi yang lebih memukau pada musim ini, ramai peminat bola sepak negara beranggapan Arif Aiman sangat diperlukan oleh skuad muda negara bagi mengharungi saingan Sukan Sea dan Piala Asia B23. Ini kerana kehadiran Arif Aiman bakal memberikan sengat kepada barisan serangan skuad muda negara yang diketuai oleh Lord Hadi Fayyadh dan Lord Luqman Hakim.
Walau bagaimanapun, khidmat Arif Aiman lebih diperlukan oleh skuad negara. Buktinya beliau banyak memberikan masalah kepada barisan pertahanan lawan ketika menentang Hong Kong.
Apa-apapun semoga Arif Aiman mampu memberikan yang terbaik kepada Malaysia sebagai mana ketika beraksi bersama Malaysia. Mungkin Arif Aiman akan menjadi watak penting dalam membantu Malaysia menuju Piala Asia 2023.