Pada Februari tahun lepas, atlet renang China Sun Yang dikenakan penggantungan selama lapan tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas menerima keputusan rayuan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
WADA memfailkan rayuan di CAS selepas Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memutuskan Sun tidak bersalah kerana masalah doping pada September 2018.
Sebaik keputusan tersebut diumumkan, beliau menolak sekeras-kerasnya keputusan tersebut dan mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan di Mahkamah Agung Persekutuan Switzerland.
Sun masih bertegas bahawa dirinya tidak bersalah dan penggantungan yang dikenakan merupakan satu kesilapan.
Bagaimanapun, dalam penghakiman mereka, CAS menyelar sikapnya yang tidak merasa kesal tentang apa yang berlaku.
Sekiranya keputusan mahkamah tidak menyebelahinya, Sun bukan saja terlepas peluang mewakili China ke Sukan Olimpik Tokyo 2021. Malah, beliau juga harus mengumumkan persaraan daripada sukan itu.
Hasilnya pada 15 Januari lepas, mahkamah agung Switzerland memutuskan bahawa perenang China itu tidak mendapat perbicaraan yang adil semasa kes dibawa ke CAS.
Hal ini berikutan salah seorang panel hakim yang mengendalikan perbicaraan pernah membuat ciapan-ciapan berbaur anti-China terutama membabitkan hak asasi haiwan.
Dalam penghakiman mereka, hakim mendapati panel CAS yang tidak dinamakan itu membuat ciapan-ciapan tersebut tanpa mengambil kira kedudukannya sebagai seorang hakim.
Malah, mereka turut mendapati hakim tersebut turut menggunakan frasa-frasa berbaur keganasan.
Antara contoh bias yang ditampilkan panel tersebut ialah mencela isu layanan yang diterima anjing di China termasuk dijadikan sebagai makanan dan mengejek warna kulit sesetengah orang China yang disasarkan.
Dalam kes Sun, perkara sama turut berlaku terutama selepas dia dipilih sebagai panel hakim yang mengendalikan kes rayuan WADA itu.
Justeru, hakim mengarahkan CAS membicarakan semula kes dengan panel hakim yang baru dilantik.
CAS dalam satu kenyataan merasa kesal tentang apa yang berlaku termasuk mengapa isu bantahan kredibiliti hakim tidak dibangkitkan lebih awal semasa prosedur perbicaraan.
CAS memberi jaminan kes Sun akan dibicarakan secepat mungkin dan menegaskan komen hakim tersebut tidak mewakili CAS.
Keputusan ini membolehakan pemenang pingat emas Olimpik sebanyak tiga kali itu menghela nafas lega dan membolehkannya bertanding dalam temasya Olimpik Tokyo 2021.
Bagaimanapun, itu bergantung kepada bila tarikh perbicaraan semula akan diadakan.
Oleh: Moustapha Abbas
SUMBER
Reuters. (2020). Swimming: China’s Sun Yang shocked and angered, will appeal against eight-year ban by CAS for doping violation.
Reuters. (2021). Swimming: Dog-meat tweeting judge in Sun Yang doping case had doubtful impartiality, says Swiss court.