Semua maklum prestasi Selangor dalam liga musim ini boleh dianggap sederhana. Walaupun Ifedayo Olusegun mencipta nama sebagai penjaring terbanyak liga dengan 12 gol.

Pencapaian tersebut masih gagal membantu pasukan berada di kedudukan tiga teratas liga.

Advertisement

Dengan fokus kini beralih kepada musim hadapan, Gergasi Merah Kuning mula mencari awang import baru untuk mengukuhkan pasukan.

Salah satu nama yang dikaitkan dengan Selangor ialah penyerang Al-Duhail dari Korea Utara, Han Kwang-sung.

Kredit: Harian Metro

Walaupun memahami keinginan pasukan pengurusan untuk memantapkan bahagian serangan, tindakan pasukan Merah Kuning itu dijangka bakal mengundang tekanan diplomatik kepada Malaysia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pasukan pengurusan.

Sebelum beraksi di Qatar, Kwang-sung beraksi di Itali selama tiga tahun.

Satu sumber yang tidak dikenali berkata, “Sebelum ini, Al-Duhail dikenakan tekanan berikutan melanggar arahan PBB yang melarang mengambil individu daripada Korea Utara untuk bekerja sekali gus menyebabkan nama dia tiada dalam senarai pasukan terbabit dengan kali terakhir bermain pada Ogos lalu.

“Namun, ketika ini timbul pula desas-desus Selangor mahu mengambil pemain berkenaan untuk beraksi pada musim depan. Jika perkara terbabit benar, jelas akan menimbulkan masalah kepada Selangor dan kerajaan Malaysia kerana melanggar arahan PBB klausa 2397 perenggan 8 yang dikuatkuasakan pada 2017 bahawa anggota badan dunia itu dilarang mengambil individu daripada Korea Utara bekerja dalam apa jua sektor.”

Pelanggaran arahan ini juga dijangka menyulitkan kerajaan, FAM dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam menjawab pelbagai isu berbangkit menyelubungi ‘Ronaldo Korea Utara’ itu.

“Kemungkinan ada antara persatuan sukan tidak peka terhadap pengambilan pemain luar kerana ada daripada negara tertentu jika kita mengambil mereka bermain akan berhadapan masalah seperti tidak dibenarkan menyertai kejohanan,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang dihubungi pihak media mengesahkan mereka sedang mengintai beberapa pemain dari Korea Utara dan Korea Selatan untuk mengisi kekosongan kuota import musim hadapan.

Namun begitu, tiada pihak yang memberitahu berkaitan larangan mengambil pemain daripada Korea Utara selain turut menjelaskan bahawa negara berkenaan juga merupakan anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Ketika ini kami belum lagi ada keputusan untuk mengambil pemain import untuk musim hadapan namun boleh mengesahkan ada merisik pemain daripada kedua-dua negara itu,” katanya.

Ketika ini, kelab dibarisi oleh Safuwan Baharudin (Singapura), Olusegun (Nigeria), Sandro Mendoca (Brazil), Rufino Segovia (Sepanyol) dan kapten Taylor Regan (Australia).

Jika melihat kenyataan Datuk Seri Shahril, salah seorang daripada mereka akan digugurkan untuk musim hadapan.

Sebagai penyokong Merah Kuning, sudah tentu menjadi harapan penulis melihat kelibat import sehebat pemain-pemain lama seperti Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Tony Cottee atau Mehmet Durakovic.

Cuma dengan kelab kini melangkah ke era penswastaan, sebarang langkah harus diatur dengan berhati-hati. Salah percaturan, kelab yang perlu menanggung akibat!

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Msar, Syazwan. (2020). Selangor sambar ‘Ronaldo’ Korea Utara?. Harian Metro. Dipetik daripada https://www.hmetro.com.my/…/selangor-sambar-ronaldo…

Comments