All Of Us Are Dead Mengangkat Sukan Tradisi Korea

All Of Us Are Dead
All Of Us Are Dead

Dalam siri All Of Us Are Dead, terdapat dua kumpulan pelajar sekolah menengah yang berjaya bertahan daripada zombi sehingga ke saat terakhir.

Salah satunya adalah kumpulan pelajar yang mahir dalam sukan memanah melalui watak Jang Ha-ri dan Jung Min-jae.

Advertisement

Kalau dilihat daripada aksi dua watak tersebut, hampir kesemua panah yang dihalakan ke zombi menepati sasaran.

Babak dan watak itu sebenarnya telah mengangkat tradisi rakyat Korea yang mahir memanah sejak 5000 tahun yang lalu.

Persoalannya macam mana rakyat Korea boleh power dan sebati dengan sukan memanah?

Cerita begini, Korea merupakan sebuah negara yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang. Jika terjadi peperangan di sana, pertempuran jarak dekat amatlah tidak sesuai untuk dipratikkan.

Oleh sebab itu rakyat Korea perlu mahir dalam sukan memanah bagi memburu haiwan dan melindungi diri daripada ancaman musuh. Secara rasminya, memanah telah dijadikan senjata utama bagi masyarakat Korea silam.

Hal ini dapat dibuktikan apabila memanah menjadi elemen penting ketika angkatan perang Korea cuba menghalang kemaraan kapal Jepun dengan menggunakan panah berapi.

Paling mengkagumkan adalah rakyat Korea ketika era silam mampu memanah secara tepat dalam jarak lebih kurang 145 meter.

Walau bagaimanapun menjelang abad ke-19, penggunaan panah dan busur sebagai senjaga utama semakin kurang relevan ekoran kehadiran senjata api seperti pistol.

Situasi itu menyebabkan rakyat Korea sedikit demi sedikit mula meninggalkan panah dan busur.

Bagi mengelakkan panah dan busur ini terus hilang dari jiwa masyarakat, pemerintah Korea telah mengubah senjata ini menjadi sukan kebangsaan. Pemerintah Korea juga menggalakkan setiap rakyat mereka berlatih memanah sejak sekolah rendah.

Jika bernasib baik, mereka akan terpilih menjadi wakil sekolah dan universiti. Selepas itu, mereka yang berjaya bersaing diperingkat universiti akan diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan dengan misi untuk menggenggam emas olimpik.

Bagi setiap rakyat Korea, memenangi emas acara memanah Sukan Olimpik adalah satu kewajipan buat mereka. Dengan kehandalan nenek moyang mereka yang mampu memanah sejauh 145 meter, jarak 70 meter dalam Sukan Olimpik tidak menjadi masalah.

Hal itu menjadi azimat apabila pemanah Korea sentiasa hampir menyapu emas acara memanah di setiap edisi Sukan Olimpik.

Senang cerita dalam All Of Us Are Dead, sukan tradisi Korea itu juga mampu membantu para pelajar untuk melepaskan diri daripada zombi.

Jika zombi menyerang Malaysia, sukan tradisi apa yang sesuai untuk menewaskan makhluk itu?

#iSportsAsia

Comments