Bola sepak merupakan sukan nombor satu di Malaysia dan menjadi ikutan segenap lapisan masyarakat dengan penganjuran Liga M.

Namun seperti sukan-sukan lain dalam era pandemik Covid-19, bola sepak terpaksa dimainkan tanpa kelibat penonton.

Advertisement

Jika kes Covid-19 terus meningkat, maka pasukan perlu bersedia berdepan kemungkinan pembatalan kejohanan sekiranya negara diletakkan dalam situasi PKP atau PKPB.

Hal ini mengundang kerungsingan dalam kalangan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Jika penonton tidak dibenarkan datang ke stadium, maka pasukan-pasukan Liga M berpotensi berdepan risiko muflis.

Hal ini demikian kerana kebergantungan kewangan setiap pasukan Liga M datang daripada hasil kutipan tiket perlawanan dan wang tajaan yang diterima daripada syarikat swasta atau badan bukan kerajaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menambah, kelab-kelab Liga M baik Liga Super dan Liga Perdana bakal berdepan kerugian hampir RM100 juta dan potensi kemuflisan.

Ianya kerana hasil kutipan tiket sememangnya penting bagi memastikan industri bola sepak terus hidup dan bernyawa di kala negara ketika ini berdepan ketidaktentuan ekonomi disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Bermula tahun depan, Liga M dah bergerak secara swasta di mana ia dimiliki oleh pihak individu yang bergelar usahawan ataupun dimiliki melalui konsortium iaitu pemilikan secara bersama. Jadi maksudnya, sumber kewangan pasukan datangnya daripada pemilik sendiri tanpa mengharapkan dana daripada kerajaan negeri lagi.

“Sudah tentu ia berkait dengan soal keuntungan kerana setiap pelabur pastinya mahu melihat ROI atau pulangan pelaburan dan dalam hal ini, pemilik tentunya tidak mahu rugi.

“Salah satu keuntungan dalam bola sepak adalah menerusi kutipan tiket. Bayangkan kalau penonton masih tidak dibenarkan masuk ke stadium musim depan, saya jangka kelab ini tidak akan mampu bertahan dan mungkin boleh bankrap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, pihak penaja juga mungkin akan sukar untuk menaja kerana sedar ROI yang diterima tidak sepadan dengan pulangan hasil penajaan kepada pasukan.

“Bila penonton tak boleh masuk stadium, secara kitaran dalam ekonomi juga menunjukkan logo atau pemasaran jenama penaja takkan dilihat oleh ribuan mata. Di situ nanti, penaja melihat tidak berbaloi untuk mereka menaja kerana kitaran itu tidak lengkap ekoran tiadanya audiens untuk melihat jenama mereka,” ujarnya.

Selain kelab bola sepak, pelabur dan penaja, pengeluar jersi juga akan berkira-kira menghasilkan jersi berikutan penonton tidak bertandang ke stadium.

Beliau menambah, “Pengeluar jersi juga akan rugi. Biasanya penonton akan ke stadium dengan memakai jersi baharu tetapi kalau tahun depan tak boleh lagi, buat apa penyokong nak beli sedangkan mereka tak boleh nak ke stadium.

“Jadi sebenarnya banyak kesan dan implikasinya kepada bola sepak negara kalau penyokong masih dihalang ke stadium. Keghairahan secara perlahan-lahan akan hilang dan akhirnya liga akan ‘mati’ dan dilupakan oleh penyokong.

“Saya harap pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pentadbir bola sepak negara dapat duduk berbincang cari solusi terbaik, dengan ambil contoh liga di luar yang membolehkan penonton masuk dengan mengamalkan SOP ketat,” katanya.

Melihat situasi yang meruncing ini, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memberitahu mereka sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk pelan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penonton dapat hadir ke stadium.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kehadiran penonton ke stadium merupakan antara matlamat utama yang akan ‘diperjuangkan’ bagi saingan Liga M musim depan sekaligus bakal menghidupkan kembali aura sukan nombor satu negara terbabit.

Beliau menambah, antara SOP yang akan dibentangkan nanti ialah mengehadkan jumlah penonton mengikut kapasiti stadium dan memperketatkan lagi saringan sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Sememangnya tanpa kehadiran penonton ke stadium menyebabkan saingan Liga M tampak suram lebih lagi akan menjejaskan penajaan pasukan berikutan ketiadaan orang ramai di venue.

“Pada peringkat permulaan, kita hanya membenarkan jumlah tertentu sahaja memasuki stadium dan mungkin akan bertambah secara berperingkat jika situasi pandemik Covid-19 di negara lebih terkawal. Selain itu, golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas sudah tentu tidak dibenarkan memasuki stadium,” katanya.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Hashim, F. (2020). Kantung bocor tanpa penyokong. Harian Metro.

Msar, S. (2020). Penonton kembali ke stadium?. Harian Metro.

Comments