Akses Ke Pakej Latihan Ekslusif Untuk Peserta KL Standard Chartered Marathon 2021

KUALA LUMPUR 18 Oktober 2021 – Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM), acara larian terbesar dan paling dinanti-nantikan di Malaysia dijadualkan untuk diadakan secara virtual sekali lagi tahun ini. KLSCM 2021 VR yang menawarkan penyertaan secara percuma ini akan berlangsung dari 20 hingga 28 November 2021. Kategori larian terdiri daripada jarak Full Marathon, Half Marathon, 10km dan 5km. Hadiah lumayan berupa Grand Lucky Draw yang memberikan npembiayaan penuh bagi perjalanan ke acara maraton antarabangsa di Eropah untuk dua orang.

Selari dengan acara KLSCM 2021 VR, pakej latihan ekslusif untuk peserta yang berumur 18 tahun dan ke atas telah dibuat. Run Fast Academy, selaku penyedia latihan rasmi untuk acara ini, menawarkan dua pakej latihan, Pelan A untuk 5km dan 10km, iaitu untuk pelari jarak pendek dan Pelan B disediakan untuk pelari jarak jauh; separuh maraton dan maraton penuh.

Advertisement

Pengasas bersama dan Ketua Jurulatih Run Fast Academy, Sam Seow berkata, “Kami komited untuk berkongsi pengetahuan kami. Kuncinya adalah untuk membantu pelari memahami apa yang menyebabkan kecederaan dan bagaimana mengurangkan kecederaan, zon latihan, pemakanan, serta persiapan mental.”


Run Fast Academy telah mengendalikan lebih daripada 500 program latihan secara fizikal sejak penubuhannya pada tahun 2016. Mereka tidak berhenti mengadakan latihan walaupun semasa pandemik dengan 100 sesi latihan dalam talian (melalui aplikasi Zoom) diadakan. Mereka juga telah dijemput mengendalikan latihan di beberapa negara di rantau Asia seperti Singapura, Filipina, Thailand, Korea dan Jepun. Secara keseluruhan, 5,000 pelari telah mendapat manfaat daripada latihan mereka yang memfokuskan kepada 4 asas ini; F.A.S.T. (Focus, Allignment, Strength & Technical Training).

“Adalah sangat penting bagi pelari untuk mengetahui pelbagai kemahiran yang diperlukan untuk menjadi lebih cekap dalam larian mengikut jarak yang berbeza. Oleh itu, kami menawarkan 2 rancangan latihan untuk para peserta KLSCM 2021 VR supaya mereka dapat meningkatkan prestasi larian dan pada masa yang sama juga kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi untuk menjadi pelari elit,” Sam menambah

Terdapat 5 sesi dalam talian dan 1 sesi fizikal yang akan dilaksanakan di taman-taman yang telah ditentukan untuk latihan. Kuota peserta untuk rancangan latihan telah ditetapkan untuk memastikan kualiti latihan tidak terjejas serta SOP dipenuhi.

Objektif terakhir latihan ini ialah untuk memastikan pelari dapat nikmati latihan secara santai sambil menjalani gaya hidup sihat di samping meningkatkan prestasi. Yang menariknya pula, pakej-pakej latihan ini disediakan dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Dengan harga berpatutan iaitu sebanyak RM59 untuk Pelan A dan RM69 sahaja untuk Pelan B, peserta KLSCM 2021 VR boleh membeli pakej ini di https://bit.ly/klscm2021-training. Slot untuk latihan adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Comments