Aiman Zariff Berjaya Pertahankan Jersi Merah Di Genting Highlands

Wakil dari negara kita iaitu Aiman Zariff buktikan kehebatannya apabila berjaya mengekal jersi merah selaku raja bukit untuk perlumbaan peringkat ketiga.

Ternyata strategi yang dirancang iaitu buat breakwind dulu untuk ambil dua poin terawal bagi memastikan kedudukannya selesa membuahkan hasil.

Advertisement

Jadi peluang beliau untuk muncul sebagai raja bukit LTdL 2022 semakin cerah dengan syarat perlu konsisten dalam baki perlumbaan seterusnya.

Disebalik kejayaan Aiman Zariff, duka melanda rakan sepasukannya iaitu Jambaljamts Sainbayar. Sebelum ini Jambaljamts Sainbayar begitu cemerlang apabila berjaya menjadi pelumba terbaik Asia dua kali berturut-turut.

Namun hari ini semuanya nampak seseolah tidak kena kerana beliau telah kehilangan jersi putih kepada pelumba Australia iaitu Andrey Zeits. Malah dalam ranking raja bukit, nama Jambaljamts Sainbayar tiada di top 3. Mungkin laluan mendaki yang sangat mencabar membuatkan beliau sukar untuk beraksi dengan baik.

Seperti apa yang dijangkakan pelumba daripada Colombia iaitu Ivan Ramiro Sosa (Movistar Team) berjaya menjuarai perlumbaan peringkat ketiga lantas. Hal ini sekaligus mengekalkan kejuaraan yang menjadi tradisi pelumba-pelumba daripada Colombia dan Amerika Selatan. Kemenangan itu telah membuatkan jersi putih bertukar kepada Ivan Ramiro Sosa. Gleb Syritsa masih lagi cemerlang setelah berjaya mengekalkan jersi hijau.

Bukan itu sahaja, perubahan yang besar juga berlaku dalam keputusan akhir peringkat ketiga. Nama-nama pelumba yang tidak pernah naik di top 10 seperti Hugh Carthy (EF Education – Easypots) dan Einer Augusto Rubio (Movistar Team) berjaya mendaki tempat kedua serta ketiga.

Apa yang lebih membanggakan lagi adalah pelumba terbaik Malaysia bagi peringkat ketiga hanya berumur 19 tahun, Zhe Yie Kee mendapatkan tempat ke-43 tiga secara keseluruhan meninggalkan pelumba-pelumba negara yang lebih senior seperti Hariff Saleh.

Di samping itu, buat pertama kalinya Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) berjaya menjadi pasukan terbaik Asia mengatasi Thailand Continental Cycling Team dan Team Ukyo.

Secara keseluruhan pula, Movistar Team berjaya merebut kembali tempat pertama untuk pasukan terbaik.

Apa-apapun tahniah kepada semua pelumba kerana berjaya menamatkan peringkat ketiga dengan baik walaupun miliki begitu banyak cabaran.

Kepada pelumba negara iaitu Aiman Zariff, Zhe Yie Kee dan pasukan TSG, diharap mampu terus konsisten untuk perlumbaan peringkat keempat.

Comments