KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti dijangka mendominasi Anugerah Bola Sepak
Kebangsaan 2022 (ABK22) selepas membolot lapan kategori utama pada majlis yang berlangsung malam ini.
Pada ABK22 berlangsung secara maya itu, penyerang sensasi JDT Arif Aiman Mohd Hanapi mempertahankan kemenangannya selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) buat musim kedua berturut-turut selain dinobatkan Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.
Bintang muda berusia 20 tahun itu mempertahankan gelaran dimenangi musim lepas selepas prestasi cemerlang dan konsisten sepanjang musim bersama JDT.
Kem JDT yang menyapu bersih kejuaraan musim ini iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah terus cemerlang pada ABK22 selepas Shahrul Saad diumumkan selaku pemain Pertahanan Terbaik.
JDT turut mendominasi kategori lain termasuk anugerah Pemain Tengah Terbaik menerusi Afiq Fazail sementara Bergson da Silva memenangi anugerah Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak Liga Super 2022 selepas menjaringkan 29 gol.
Melengkapkan lagi malam gemilang JDT di ABK22, skuad Harimau Selatan itu turut memenangi anugerah Pasukan Terbaik, sekali gus mempertahankan kemenangan sejak musim 2018.
Sementara itu, Petaling Jaya City FC berjaya memenangi dua kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Fair Play selain penyerangnya, Darren Lok berjaya meraih anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dengan 10 gol.
Kejayaan mara ke pentas akhir Piala FA dan muncul Naib Juara Liga Super pula melayakkan Nafuzi Zain yang mengendalikan Terengganu FC sebelum ini muncul pemenang kategori anugerah Jurulatih Terbaik, mengatasi pemenang musim lepas, Bojan Hodak (KL City FC) dan Datuk Ong Kim Swee (Sabah FC).
Senarai pemenang ABK22 yang lain:
Gol Terbaik Liga Malaysia: Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC)
Penjaga Gol Terbaik: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Negeri Sembilan FC)
Penjaring Terbanyak Liga Premier: Abu Kamara (Kuching City FC)
Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier: Nurshamil Abd Ghani (Kelantan FC)/Daryl Sham (JDT II) – 10 gol
— BERNAMA