Selepas mengalami dua kekalahan akibat keputusan pengadil di tangan Aston Villa dan Manchester United pada minggu lepas, Southampton menghantar permohonan kepada Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) agar tidak melantik Mike Dean atau Lee Mason sebagai pengadil perlawanan mereka untuk baki musim ini.
Permohonan aneh ini dikemukakan selepas kedua-duanya dikatakan membuat keputusan buruk dalam kedua-dua perlawanan tersebut.
Dean bertanggungjawab melayangkan kad merah kepada bek tengah Saints, Jan Bednarek semasa kekalahan 9-0 di tangan Red Devils di Old Trafford.
Manakala kedua-duanya bertanggungjawab tidak memberi penalti kepada mereka dalam perlawanan menentang Villa.
Mason yang menjadi pengadil dalam perlawanan itu dinasihatkan oleh Dean sebagai pembantu pengadil VAR untuk tidak memberi penalti kepada Southampton.
Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (PL) secara rasmi tidak boleh memohon PGMOL untuk menetapkan pengadil tertentu untuk perlawanan mereka.
Namun mereka boleh mempertimbang banyak faktor sebelum membuat sebarang lantikan.
Walaupun permintaan sebegini nampak aneh, bekas pengadil Mark Clattenburg merasakan PGMOL boleh memutuskan untuk tidak melantik Dean atau Mason dalam mana-mana pasukan pengadilan perlawanan Southampton untuk baki musim ini.
Ianya bagi meredakan kontroversi yang menyelubungi mutu pengadilan liga musim ini.
Kekecewaan pasukan bimbingan Ralph Hassenhuttl secara dasarnya hanya sekelumit daripada luahan ketidakpuasan hati ramai pengurus terhadap mutu pengadilan liga musim ini.
Mereka bernasib baik bos mereka tidak dikenakan denda tidak seperti rakan-rakan sejawatnya yang lain.
Pada Januari lepas, pengurus Wolves Nuno Espirito Santo didenda £25,000 kerana mengkritik mutu pengadilan Mason semasa perlawanan mereka menentang Burnley.
Dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 Clarets, Nuno menyifatkan kualiti pengadilan sebagai lemah dan merasakan beliau tidak mampu menjadi pengadil PL.
Sementara pengurus Aston Villa, Dean Smith pula dikenakan penggantungan satu perlawanan dan denda pada bulan lepas selepas menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Jon Moss berkenaan gol pertama yang dijaringkan lawan mereka, Manchester City.
Bekas pengurus Brentford itu naik angin selepas gol Bernardo Silva itu tetap dikira walaupun wujud insiden kekasaran membabitkan pemain tengah City, Rodri terhadap bek tengah Villa, Tyrone Mings.
Pihak liga kemudiannya mengakui wujud kesilapan dalam gol berkenaan dan ia sepatutnya tidak dikira.
Hal ini mengundang persoalan mengapa pengadil-pengadil sebegini terus diberi peluang tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Jika perkara ini dibiarkan berterusan, standard pengadilan PL akan terjejas teruk seperti dibangkitkan bekas ketua PGMOL, Keith Hackett.
Semasa diminta mengulas komen pedas Nuno terhadap Mason pada Disember tahun lepas, beliau menyifatkan walaupun komen tersebut salah, ia harus dipandang serius PGMOL.
Hackett merasakan satu cara menambahbaik kualiti pengadilan ialah PGMOL sentiasa berkomunikasi dengan para pengurus dan berusaha memastikan sebarang kekaburan tentang peraturan dibuang dengan segera.
Namun jika diaju soalan apa yang patut dilakukan, jawapan penulis mudah saja: rehatkan untuk beberapa perlawanan.
Keputusan pengadil bukan sekadar menentukan keputusan perlawanan sesebuah pasukan tetapi menentukan sama ada pasukan itu bergelar juara atau naib juara, layak ke Eropah atau tidak, terselamat atau berdepan penyingkiran.
Semua ini boleh mempengaruhi kedudukan kewangan pasukan pada akhir musim dan menentukan sama ada bilangan pekerja kelab ditambah atau dikurangkan.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
Blackmore, A. (2021). Southampton request Mike Dean and Lee Mason do not officiate games. BBC.
Clattenburg, M. (2021). MARK CLATTENBURG: PGMOL were asking for trouble by putting Mike Dean and Lee Mason in charge of Southampton twice in four days. Daily Mail.
Hanson, P. (2020). Nuno wrong to attack Mason but refereeing standards are dropping – Hackett. Stadium Astro.