5 Perkara Tentang Pertembungan Pahang vs JDT

Sumareh dikaitkan bersama pasukan JDT

Setiap kali perlawanan bola sepak melibatkan dua pasukan ini, penonton bakal menyaksikan pertembungan yang dikatakan sangat panas di antara Pahang menentang Johor Darul Ta’zim. Bibit-bibit permusuhan antara dua pasukan ini telah menjelma sejak tahun 2013 sehingga ianya berlarutan menuju 2020. Dengan itu, terdapat beberapa perkara yang perlu anda tahu mengenai pertembungan JDT menentang Pahang.

1. Dipimpin Anak Raja

Tahukah anda bahawa kedua-dua pasukan ini dipimpin oleh anak raja dan memungkinkan pengaruh dalam penajaan. Pasukan Pahang dipimpin oleh Tengku Muda Pahang iaitu Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah. Manakala JDT pula dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor iaitu Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim Ismail sebagai pemegang saham utama.

2. Pemain Julang Piala Dalam Dua Pasukan Berbeza

Buat pengetahuan semua, terdapat dua orang pemain bola sepak yang pernah julang piala sama dengan pasukan Pahang dan JDT. Azamuddin Akil dan Mohd Gopi Rizqi (R.Gopinathan) adalah pemain yang berjaya menjulang Piala Malaysia untuk kedua-dua pasukan tersebut. Mereka berjaya menjulang Piala Malaysia 2014 bersama Pahang dan Piala Malaysia 2017 bersama Johor Darul Ta’zim.

3. Penonton Melimpah Ruah

Pada tahun 2013, kita telah dipertontonkan dengan satu insiden yang jarang berlaku dalam bola sepak Malaysia iaitu limpahan penonton. Ketika perlawanan separuh akhir 2013 di Stadium Darul Makmur, kehadiran penonton yang begitu tinggi mengakibatkan ianya melimpah ruah sehingga ke kawasan balapan. Hal ini juga telah menyebabkan berlaku beberapa pergaduhan kecil antara kedua-dua penyokong pasukan tersebut. Akhirnya, perlawanan ditangguhkan ke venue berkecuali di Bukit Jalil yang menyaksikan JDT menang secara agregat 2-2 menentang Pahang.

4. Kesepaduan Penyokong

Penyokong kedua-dua pasukan yang diwakili oleh Boy of Straits dan Elephant Army memberikan lembaran baru dalam budaya ultras di Malaysia. Hal ini boleh dilihat apabila berlaku pertembungan antara JDT menentang Pahang terutama dalam perlawanan melibatkan final kalah mati. Antaranya adalah ketika final Piala Malaysia 2014, di mana kedua-dua ultras menunjukkan semangat yang jitu dalam menyokong pasukan masing-masing. Serangan chant dan laungan suara menjadikan suasana semakin hangat dan dianggap antara final paling dramatik di Malaysia.

5. Status Mohamdou Sumareh

Beberapa bulan lepas, bola sepak Malaysia digemparkan dengan dakwaan bahawasanya Sumareh akan meninggalkan Pahang untuk ke pasukan lain. Antara pasukan yang disebut bakal jadi persinggahan baru Sumareh adalah JDT. Situasi ini dikuatkan lagi apabila TMJ dan Sumareh berbalas-balas komen di laman Instagram. Walau bagaimanapun, tunggu sahaja hujung tahun ini sama ada ianya benar atau tidak.

Rumusan

Pertembungan di antara JDT menentang Pahang senantiasa menjanjikan kehangatan dan kontroversinya tersendiri. Bahkan ianya boleh dianggap sebagai derby paling panas di Malaysia. Namun bagaimana pula dengan perlawanan antara kedua-dua pasukan sebentar sahaja nanti? Adakah akan menjanjikan kehangatan membara ataupun suam-suam suku sahaja, sama-sama kita nantikan.

Advertisement

Comments