Pengunduran pasukan Felda United daripada kancah Liga Malaysia bikin ramai peminat bola sepak tempatan gundah gulana.

Bayangkan sudah terlalu banyak kelab yang telah dibubarkan kerana pelbagai masalah.

Advertisement

Hal ini sebenarnya sebuah perkara biasa sahaja tetapi dari satu sudut yang lain, ianya membawa makna kelab di Malaysia sukar untuk mandiri.

Malahan, kelab-kelab yang pernah menerpa kejayaan juga turut bungkus. Dimanakah silapnya ataupun bola sepak bukanlah sebuah budaya di Malaysia?

Berikut adalah 5 pasukan terhebat Liga Malaysia yang telah bungkus.

 

1. Public Bank FC

Public Bank FC merupakan sebuah kelab berpangkalan di Selayang, Selangor serta dimiliki oleh Public Bank Berhad.

Pasukan ini berjaya menjadi juara Liga Perdana 2 lantas dinaikkan pangkat untuk beraksi di saingan tertinggi bola sepak Malaysai iaitu Liga Super.

Tahun pertama Public Bank FC di Liga Super, pasukan ini menjaya menjadi naib juara bagi kejohanan bagi musim 2004.

Malang menimpa pasukan ini apabila hanya mampu menduduki tangan ketujuh daripada lapan pasukan yang bertanding di Liga Super 2005.

Hal itu memaksa Public Bank FC kembali beraksi di divisyen kedua iaitu Liga Perdana.

Pada akhir musim 2005, Public Bank FC telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia kerana masalah kewangan.

Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengenakan hukuman dilarang daripada beraksi selama lima tahun ekoran daripada tindakan itu.

 

2. Perlis

Perlis merupakan sebuah pasukan yang ditubuhkan pada tahun 1963 dan miliki seteru yang begitu ikonik dengan Kedah sehingga digelar sebagai derby utagha.

Kejayaan paling manis buat bola sepak Perlis adalah ketika pasukan itu berjaya menjulang Piala Malaysia pada 2004 dengan mengalahkan Kedah.

Pada tahun berikutnya, Perlis berjaya menjulang trofi Liga Super pertama mereka. Kejayaan Perlis tidak berhenti setakat itu sahaja apabila pasukan itu berjaya mendakap kembali Piala Malaysia pada tahun berikutnya.

Kali terakhir Perlis dapat memenangi trofi di Liga Malaysia adalah pada 2008 dengan menjulang Piala Sumbangsih.

Tahun 2006 merupakan kali pertama Perlis beraksi di Piala AFC tetapi gagal memberi impak dan melangkah jauh.

Memasuki tahun 2019, Perlis dikatakan sedang giat menuju penswastaan kelab serta sedia mencabar pasukan-pasukan elit.

Ianya bukan omong kosong apabila Perlis berjaya menandatangani bekas penyerang kebangsaan iaitu Safee Sali dan pemain tengah berbakat besar iaitu Badhri Radzi.

Semuanya tampak seakan berjalan dengan lancar sehingga pasukan itu terpalit dengan masalah pembayaran gaji.

Akhirnya, Perlis telah diharamkan oleh FIFA untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan pasukan itu terus bungkus.

 

3. Telekom Malaysia FC

Telekom Malaysia FC merupakan sebuah kelab yang dimiliki oleh Telekom Malaysia (TM).

Pasukan ini pada asalanya berakar umbi daripada Telekom Melaka FC pada 1994 yang juga dimiliki oleh Telekom Malaysia cawangan Melaka.

Pasukan ini memulakan saingannya di Piala FAM sehingga tahun 1998 dan berjaya melayakan diri ke Liga Perdana dua pada tahun berikutnya.

Pasukan ini akhirnya berjaya beraksi di Liga Perdana satu apabila menjadi naib juara Liga Perdana dua 2002.

Pencapaian paling gemilang pasukan ini adalah apabila menjadi naib juara Liga Super pada tahun 2005-2006 dibelakang Negeri Sembilan.

Akhirnya Telekom Malaysia telah meminta kepada FAM untuk mengeluarkan Telekom Malaysia FC daripada Liga Malaysia.

Hal ini demikian kerana syarikat itu lebih komited untuk menaja bola sepak negara berbanding penguruskan sebuah pasukan.

Buat pengetahuan anda semua, Telekom Malaysia merupakan penaja rasmi Liga Malaysia daripada musim 2004 sehingga 2010.

 

4. Sime Darby

Sime Darby FC merupakan pasukan yang ditubuhkan pada awal tahun 2010 serta dimiliki oleh taikun gergasi iaitu Sime Darby Group.

Pasukan ini berjaya menjuarai Piala FAM pada tahun 2010 sebagai pendatang baru. Hal ini menyaksikan pasukan itu layak untuk beraksi di kancah Liga Perdana pada tahun berikutnya.

Sime Darby FC hanya memerlukan 2 tahun sahaja untuk dapat beraksi di saingan tertinggi bola sepak Malaysia dan terus berjaya menamatkan saingan di tempat kelima Liga Super.

Pencapaian paling gemilang buat Sime Darby adalah apabila pasukan itu berjaya melangkah ke final Piala FA 2012 tetapi dikecewakan Kelantan dengan jaringan penalti Mohamed Ghaddar.

Pasukan ini akhirnya kembali ke Liga Perdana pada 2016 dan ke Liga FAM 2017.

Terdapat ura-ura bahawasanya pasukan ini akan dibubarkan tetapi isu itu tidak mematahkan semangat Sime Darby apabila berjaya menjuarai Piala FAM 2017.

Walau bagaimanapun, pasukan tersebut akhirnya menarik diri daripada saingan Liga Malaysia. Hari ini Sime Darby sekadar beraksi di liga amatur di bawah seliaan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

 

5. MPPJ FC

MPPJ FC merupakan pasukan yang berpusat di Petaling Jaya, Selangor.

Pasukan ini adalah kelab pertama yang berjaya menjulang Piala Malaysia pada 2003 setelah menewaskan Sabah 3-0 dengan ledakan hatrik Juan Manuel Arostegui.

Dalam saingan Liga Super pula, MPPJ menduduki tangga kelima daripada lapan pasukan pada tahun 2005.

Secara tiba-tiba ketika tahun 2006, pasukan yang pernah digelar sebagai Chelsea Malaysia itu dilanda oleh masalah kewangan.

Kebuasan MPPJ FC dalam membelanjakan wang serta mendapatkan pemain bintang bikin kantung kewangan pasukan itu semakin mengecil.

Akibatnya ramai pemain utama yang melangkah pasukan kerana tidak diberikan gaji serta bonus.

Memasuki musim 2006-2007, pasukan itu sudah tidak lagi wujud dalam saingan Liga Super dan telah menyebabkan hanya 13 pasukan yang beraksi di saingan tertinggi.

Hari ini, pasukan tersebut masih lagi wujud tetapi lebih dikenali sebagai MBPJ FC dan sekadar bertanding dalam kejohanan belia serta amatur sahaja.

#iSportsAsia

Comments