5 Fakta Menarik Mengenai Pasukan Selangor

Malam ini tepat pukul 8.15, kita akan menyaksikan pasukan 500 langkah kehadapan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menghadapi King of Malaysia iaitu Selangor bagi mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Sebagai kelab legenda, berhadapan dengan pasukan baru seperti JDT adalah sangat mudah. Ditambah pula dengan ramainya anak jati dalam Selangor, pasti kemenangan sudah dalam genggaman.

Advertisement

Jadi, anda mesti ingin tahu lebih mengenai Selangor. Berikut adalah fakta menarik mengenai pasukan Selangor

1. Kelab Malaysia paling power

Tahukah anda, Selangor merupakan pasukan yang paling banyak memenangi Piala Malaysia dengan jumlah 33 trofi.

Kali terakhir Selangor menjulang Piala Malaysia adalah pada tahun 2015.

Selangor berpeluang melebarkan rekod kepada 34 kali ketika tahun 2016 tetapi dikecewakan Kedah dengan tewas sepakan penalti.

Walau bagaimanapun sehingga ke hari ini, tiada satu pasukan pun mampu memecahkan rekod Selangor.

2. Dipimpin anak raja

Buat masa ini, pasukan Selangor dipimpin oleh Raja Muda Selangor iaitu Tengku Amir Shah.

Baginda bercita-cita untuk menjadikan Selangor sama seperti JDT yang juga dimiliki oleh anak raja.

3. Naib juara kejohanan utama Asia

Selangor adalah salah satu pasukan terawal yang menyertai Kejohanan Kelab Asia yang kemudiannya ditukar menjadi Liga Juara-Juara Asia pada tahun 1967.

Sayangnya ketika itu, Selangor telah tewas kepada kelab Israel iaitu Hapoel Tel Aviv dan hanya menjadi naib juara sahaja.

Tapi selepas itu Selangor tidak mampu lagi mengulangi pencapaian tersebut dan terus tenggelam di dalam sejarah yang kelam.

4. Berlawan dengan kelab handalan dunia

Pada Januari 1982, pasukan Selangor telah dijadual akan menentang kelab Boca Juniors yang diketuai oleh lagenda Argentina iaitu Diego Maradona di Stadium Merdeka.

Pasukan Selangor telah mengambil beberapa orang pemain luar untuk menguatkan kesebelasan utama seperti Fandi Ahmad bagi memberikan lebih kestabilan di dalam pasukan.

Hasilnya, Selangor hanya tewas tipis kepada Boca Juniors dengan keputusan 2 berbalas 1.

Hari ini mungkin kelihatan agak sukar untuk pasukan tempatan memberi saingan kepada pasukan bintang. Malah ketika Kelantan dan JDT sedang kuat pun, mereka hanya jadi ayam panggang pasukan luar sahaja.

5. Kilang bakat

Sejak dahulu lagi, Selangor banyak melahirkan bakat-bakat bola sepak yang sangat hebat. Paling menyerlah sekali adalah Mokhtar Dahari.

Dalam era moden pula, Selangor meneruskan tradisi ini. Buktinya beberapa pemain seperti Safee Sali, Safiq Rahim dan Amirulhadi pernah menjadi regular dalam skuad kebangsaan.

Hari ini Selangor tetap jadi kilang bakat dengan kehadiran pemain baru seperti Sharul Nazeem. Sementara pasukan di sinun hanya tahu membeli sahaja.

Comments