4 Lagu Malaysia Yang Boleh Menaikan Semangat Atlet

Apabila berbicara mengenai lagu yang boleh menaikan semangat atlet pasti beberapa lagu akan meniti dibibir kita seperti Faizal Tahir – Gemuruh dan Ella – Standing In The Eyes Of The World.

Lagu-lagu yang disebutkan itu juga sering diputar di majlis motivasi sehingga ianya sudah sebati dan sukar lagu lain untuk menembusinya.

Advertisement

Namun begitu terdapat juga beberapa lagu yang kurang didendang tapi bisa memberikan tonik untuk atlet kita beraksi dengan lebih. Berikut adalah 4 lagu Malaysia yang boleh menaikan semangat atlet negara.

 

1. Mentera Semerah Padi

Lagu ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Loloq ini boleh membuatkan kita meremang tatkala mendengarnya.

Ada juga beberapa dakwaan menyatakan rangkap awal lagu ini diambil daripada mentera yang sebenar sebelum dimodifikasi menjadi Mentera Semerah Padi.

Walau apapun, gabungan muzik tradisional dan alunan kata yang puitis sudah cukup menjadikan lagu ini adalah mahakarya.

Lagu ini seharusnya mampu menjadi pemangkin untuk atlet beraksi lebih baik ataupun dijadikan lagu tema untuk sukan.

 

2. Semangat Yang Hilang

Lagu yang dinukilankan oleh JS Kevin serta dicipta oleh Izo XPDC jarang sekali kedengaran sebagai lagu memberi semangat.

Walaupun liriknya begitu jelas bercerita mengenai membangkitkan kembali semangat, ianya masih lagi belum mampu menjadi lagu yang berpengaruh.

Mungkin muziknya yang bergenre hard rock, menyukarkan lagi lagu ini untuk memberi impak. Apa-apa pun, para atlet mungkin boleh menjadikan lagu ini sebagai tonik ketika mereka sedang diambang kekalah.

 

3. Kitalah Juara

Lagu ciptaan Raja Nazmin Shah dan lirik oleh Ajim Juxta & Amir Shazrin ini memang lain daripada lain. Hal ini demikian kerana lagu ini bergenre post-hardcore dan miliki screamo yang amat asing dengan industri muzik arus perdana.

Walau bagaimanapun lagu yang dinyanyikan oleh Sekumpulan Orang Gila (SOG) pernah dijadikan sebagai lagu tema Liga Super 2015 oleh Media Prima.

Perkara ini merupakan satu kejayaan besar bagi SOG yang bergerak secara indie apabila lagu mereka digunakan untuk mempromosi sukan paling popular di Malaysia.

Lagu ini dimulakan dengan tiupan seruling dan kicauan burung yang sangat Nusantara sebelum tiupan wisel.

Paling menarik sekali, muzik dan lirik daripada chant Ultras Malaya turut dimasukkan dalam lagu ini.

Cuba bayangkan lagu ini dinyanyikan ramai-ramai ditambah dengan screamo ketika Harimau Malaya sedang menentang Indonesia. Pasti sejarah 4-1 tidak akan berulang kembali.

4. Perjuangan

Lagu yang dihasilkan oleh kumpulan oi tempatan iaitu ACAB paling kurang didendangkan jika cuba dikaitkan dengan atlet sukan.

Hal ini demikian kerana ACAB lebih aktif bergiat di arena bawah tanah berbanding arena arus perdana.

Jika dilihat sekali imbas lirik lagu ini agak keras sedikit tetapi masih lagi mampu memberikan semangat kepada atlet jika didengarkan.

Lagu ini lebih kepada bentuk perjuangan menuju keamanan dan ianya boleh menaikan semangat atlet terutamanya apabila berhadapan dengan musuh ketat.

#iSportsAsia

Comments