12 Pemain Berpengkalan Di Eropah Yang Beraksi Dalam Piala AFF

Bermain di Eropah adalah impian bagi setiap pemain bola sepak seluruh dunia. Namun bukan mudah untuk beraksi di benua itu kerana yang betul-betul berkualiti sahaja mampu menembusinya.

Bagi pemain daripada Asia Tenggara, beraksi di Eropah hanyalah sebatas mimpi sahaja.

Advertisement

Walau bagaimanapun semua itu berubah dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 terdapat 12 orang pemain berpengkalan di Eropah yang beraksi dalam kejohanan ini. Berikut adalah senarai 12 pemain tersebut.

  1. Kawin Thamsatchanan (Thailand)

Kawin Thamsatchanan adalah penjaga gol utama yang menghadiahkan dua kejuaraan Piala AFF kepada Thailand dua kali berturut.

Ekoranya aksinya yang cemerlang, Kawin telah ditawarkan untuk beraksi bersama OH Leuven di Proximus League iaitu divisyen dua Belgium.

Setakat hari ini, Kawin telah meraih 21 pernampilan bersama OH Leuven termasuklah aksi pertama di saingai Jupiler Pro League ketika perlawanan menentang Cercle Brugge. Dalam perlawanan tersebut, Kawin membuat debut yang agak buruk apabila bolos sebanyak 2 gol.

2. Thanawat Suengchitthawon

Thanawat Suengchitthawon yang beraksi di posisi tengah menyerang boleh dikatakan pemain paling berprofil tinggi di Piala AFF Suzuki. Hal ini demikian kerana Thanawat beraksi bersama Leicester City.

Walaupun belum pernah beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris, Thanawat sudah membuat 7 penampilan bersama skuad utama Leicester City dalam saingan EFL Cup.

Perkara itu sudah cukup menunjukkan Thanawat adalah pemain masa depan Leicester City dan bintang baru Thailand.

3. Jonathan Khemdee

Jonathan Khemdee merupakan pemain kacukan Denmark-Thailand berusia 19 tahun yang beraksi bersama Odense Boldklub.

Untuk kali ini, Jonathan Khemdee hanya beraksi bersama skuad bawah 19 tahun Odense Boldklub.

Jonathan hanya sekali sahaja berjaya memasuki pasukan utama pada perlawanan Sydbank Pokalen Cup menentang FC Midtjyland yang berkesudahan tewas 3-0.

4. Jesper Nyholm

Pemain pertahanan tengah kacukan Sweden-Filipina ini memulakan kariernya di Eropah ketika beraksi bersama IK Sirius di Ettan Norra iaitu divisyen 3 Sweden.

Selepas itu Jesper berkelana ke Dalkurd FF dan berjaya beraksi di Allsvneskan ketika berhijrah ke AIK.

Terkini, Jesper beraksi bersama Djurgardens IF sebanyak 22 perlawana dan mencatat satu gol.

5. Angel Guirado

Angel Guirado merupakan pemain kacukan Sepanyol-Filipina beraksi bersama St Joseph di Gibraltar National League iaitu divisyen utama negara Gilbraltar.

Bagi peminat bola sepak Asia Tenggara, nama Angel Guirado bukanlah asing. Hal ini demikian kerana Angel pernah beraksi bersama Negeri Sembilan, Chonburi, Udon Thani dan Global.

6. Ikhsan Fandi

Ikhsan Fandi berjaya mengikut jejak langkah bapanya iaitu Fandi Ahmad untuk beraksi di Eropah pada usia yang agak muda.

Walaupun hanya beraksi di OBOS-Ligaen iaitu divisyen dua Norway, kehadiran Ikhsan sangat memberi impak.

Terkini pasukan Ikhsan iaitu FC Jerv sedang menduduk tangga ketiga OBOS-Ligaen. Jika FC Jerv terus konsisten, tidak mustahil kelab itu mampu menuju ke divisyen utama Norway.

Secara tidak langsung, Ikhsan mendapat pendedahan dengan suasana bola sepak yang kompetitif.

7. Dion Cools

Pemain yang pernah dianggap sebagai bintang masa hadapan Belgium sebelum ini telah memilih beraksi bersama Malaysia.

Hal ini memberikan kejutan kepada peminat tempatan kerana Dion agak cemerlang ketika beraksi bersama skuad muda Belgium.

Walau bagaimanapun, Dion mengalami sedikit penurunan prestasi apabila kehilang tempat dalam skuad Club Brugge pada musim 19/20 hingga memaksa beliau berpindah ke FC Midjyland.

Setakat ini Dion sudah mendapat 3 caps bersama Malaysia dan dijangka akan diturunkan dalam perlawanan menentang Indonesia.

8. Luqman Hakim

Pemain muda meningkat naik ini tiba di KV Kortrijk pada musim 20/21 lantaran aksi cemerlangnya akademi Mokhtar Dahari dan skuad remaja negara.

Walau bagaimanapun, Luqman hanya berjaya menembusi skuad utama KV Kortrijk ketika perlawanan Jupiler Pro League menentang RSC Anderlecht.

Selepas itu, Luqman hanya diletakkan dalam skuad muda KV Kortrijk sahaja.

9. Witan Sulaeman

Pemain sayap kanan itu kini beraksi bersama Lechia Gdansk di Poland tetapi tidak pernah lansung tampil dalam skuad utama.

Sebelum ini, Witan beraksi bersama FK Radnik Surdulica di Super Liga iaitu divisyen pertama Serbia dalam lima perlawanan sahaja.

10. Elkan Baggott

Elkan Baggott merupakan pemain kacukan Anglo-Indonesia yang beraksi bersama Ipswich Town dalam League One iaitu divisyen ketiga England.

Elkan berjaya memasuki skuad utama Ipswich Town ketika perlawana EFL Cup menentang Gillingham FC yang mencatatkan kemenangan 2-0.

Elkan Baggott juga pernah dipinjam ke King’s Lynn Town yang beraksi di National League iaitu divisyen kelima England.

11. Egy Maulana

Egy Maulana merupakan pemain sayap yang beraksi bersama FK Senica di Fortuna Liga iaitu divisyen pertama Slovakia. Setakat hari ini Egy telah bermain dalam 13 perlawanan dan berjaya mencipta 2 jaringan.

Walau bagaimanapun, Indonesia hanya dapat menggunakan khidmat Egy jika negara itu berjaya mara sehingga ke separuh akhir kerana tidak mendapat pelepasan kelab.

12. Billy Ketkeophomphone

Billy menjadi harapan baru bola sepak Laos apabila menjadi satu-satu pemain dari negara itu yang pernah beraksi di peringkat tertinggi di Eropah.

Ketika berada dalam zaman kegemilangan, Billy pernah beraksi di Ligue 1 bersama Nicholas Pepe dalam kelab Angers SCO. Namun kini Billy hanya beraksi bersama Dunkerque di Liga 2 tetapi masih lagi berbisa bagi Laos.

Sebenarnya masih ramai lagi pemain dari Asia Tenggara yang beraksi di Eropah tetapi tidak dipanggil untuk Piala AFF Suzuki kali ini. Antaranya adalah Noaa Laine, Sandy Walsh dan Gerrit Hotlman.

Anda rasa pemain dari Eropah yang mana akan menyerlah dalam Piala AFF Suzuki kali ini.

Comments